Penggunaan WhatsApp pada peranti selain dari telefon pada kebiasaannya memerlukan anda mempunyai telefon yang berdekatan dengan anda dan sentiasa online untuk membolehkan mesej pada kedua-dua peranti disegerakkan (sync). Kini, melalui kemaskini terkini, aplikasi WhatsApp untuk desktop boleh digunakan tanpa perlu bersambungan dengan telefon.
WhatsApp menjelaskan melalui halaman soalan-soalan lazimnya bahawa aplikasi desktop baharu merupakan natif untuk Windows, justeru menjadikan aplikasinya lebih pantas dan responsif.
Sungguhpun ciri baharu ini hanya ditawarkan pada aplikasinya di dalam sistem operasi Windows, WhatsApp menjelaskan pihaknya kini sedang mengusahakan untuk versi macOS juga.
Rekabentuk versi baharu ini juga masih lagi sama dengan beberapa perubahan-perubahan kecil yang dijangka tidak akan menjejaskan tahap kepenggunaannya.
Perkembangan terbaru ini selari dengan usaha WhatsApp menawarkan sokongan penggunaan pada berbilang peranti untuk sesebuah akaun. Terdahulu, WhatsApp telah mengumumkan pengenalan fungsi baharu tersebut sejak Jun lalu dan mula mengujinya sebulan kemudian. Pada ketika itu, WhatsApp mengumumkan pengguna boleh menggunakan aplikasi permesejannya di dalam sehingga empat peranti.
Pengujian ini juga akan dilanjutkan pada tablet Android dan juga iPad. Selain daripada itu, WhatsApp juga sedang membangunkan Companion Mode yang membolehkan pengguna menggunakannya pada sebuah lagi telefon.
Buat masa ini, telefon yang digunakan untuk WhatsApp memegang kunci identiti dan berperanan sebagai “punca kuasa”. Kini, melalui sokongan berbilang peranti, setiap peranti yang bersambungan ke akaun pengguna akan mempunyai kunci identiti masing-masing bagi membolehkannya digunakan secara bebas dari sambungan ke telefon pengguna.
Anda boleh memuat turun aplikasi WhatsApp Desktop versi terkini ini untuk menggunakan fungsi berkenaan.













