Platform pemesejan popular, WhatsApp, yang dimiliki oleh Meta, dilaporkan sedang mempertimbangkan pengenalan model langganan berbayar yang membolehkan pengguna menikmati aplikasi tersebut tanpa gangguan iklan.
Penemuan ini dikesan melalui kod atur cara dalam versi aplikasi terkini. Di dalamnya diperlihatkan pilihan untuk membuang iklan di bahagian ‘Status’ dan ‘Channels’.
Laporan baharu mendedahkan Meta mungkin masih ingin meneruskan rancangan memaparkan iklan di WhatsApp. Langkah yang sama pernah diumumkan pada pertengahan tahun lalu
Walaupun terdapat tentangan daripada pengguna, Meta menjelaskan penambahan iklan di ‘Status’ bertujuan membantu pengguna. Antaranya membolehkan pengguna menemui perniagaan baharu dan memudahkan interaksi mengenai produk atau perkhidmatan yang dipromosikan.
Analisis terhadap versi aplikasi WhatsApp terkini (2.26.3.9) oleh Android Authority telah menemukan sebahagian kod yang memberi petunjuk jelas mengenai kewujudan model langganan ini.
Kod tersebut secara spesifik menyebut tentang “langganan untuk tiada iklan di Status & Channels”. Ia turut memaparkan mesej mengenai perubahan harga langganan jika pengguna memisahkan akaun WhatsApp mereka daripada Pusat Akaun (Accounts Center) Meta.
Langkah ini bukanlah sesuatu yang asing bagi Meta. Syarikat gergasi media sosial tersebut sebelum ini pernah memperkenalkan perkhidmatan langganan tanpa iklan untuk pengguna Facebook dan Instagram di United Kingdom dan Eropah pada akhir tahun lalu. Ia diperkenalkan sebagai respons kepada garis panduan kawal selia di rantau tersebut.
Di pasaran berkenaan, harga langganan ditetapkan sekitar GBP2.99 (kira-kira RM16) untuk pengguna web dan GBP3.99 (kira-kira RM21) untuk pengguna iOS dan Android.
Buat masa ini, tiada maklumat rasmi mengenai bila perkhidmatan langganan ini akan dilaksanakan sepenuhnya atau sama ada ia akan diperkenalkan ke pasaran Malaysia.
Perincian mengenai harga langganan juga masih belum diketahui. Bagaimanapun, perkembangan lanjut mengenai ciri ini dijangka akan diumumkan kelak.













