vivo Malaysia mengesahkan telefon pintar vivo V60 Lite 5G bakal dilancarkan di pasaran tempatan tidak lama lagi, dengan perasmian pra-tempahan bermula 3 Oktober 2025. Model ini dikuasakan cip MediaTek Dimensity 7360-Turbo dan dilengkapi bateri berkapasiti 6,500mAh yang menyokong pengecasan pantas 90W.
Peranti ini menampilkan skrin AMOLED sebesar 6.77 inci dengan kadar segar semula 120Hz dan sokongan HDR10+. Antara kelebihan utama yang ditonjolkan ialah aspek ketahanan dengan penggunaan kaca pelindung shield glass serta struktur kusyen menyeluruh yang melindungi komponen dalaman.
vivo mendakwa telefon pintar ini mampu bertahan dalam hujan sehingga 12 jam, walaupun penarafan IP rasmi tidak dinyatakan. Turut disertakan fungsi One-Tap Water Ejection dan One-Tap Dust Ejection untuk memudahkan pengguna mengeluarkan air dan habuk dari peranti. Sistem audio pula menggunakan dwi pembesar suara stereo.

Dari segi prestasi, vivo V60 Lite 5G dibekalkan dengan RAM 12GB dan pilihan storan dalaman 256GB atau 512GB. Bagi keupayaan fotografi, peranti ini menggunakan sensor Sony IMX882 yang dijangka memberikan kualiti tangkapan imej yang baik.

Telefon ini ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Titanium Blue dan Pop Pink.
Harga rasmi vivo V60 Lite 5G masih belum diumumkan dan dijangka akan didedahkan semasa majlis pelancaran rasmi. Pengguna yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui laman web rasmi vivo Malaysia serta platform media sosial syarikat termasuk Facebook dan Instagram.

Pelanggan yang membuat pra-tempahan mulai 3 Oktober 2025 layak menerima pakej ganjaran eksklusif bernilai sehingga RM1,199, termasuk jaminan lanjutan dan vivo Buds. Potongan harga turut ditawarkan dengan RM200 untuk varian 12GB+256GB dan RM300 untuk varian 12GB+512GB sepanjang tempoh promosi.
Dua pilihan pelan ansuran juga disediakan melalui SPayLater dan PayLater By Grab, masing-masing mengikut terma dan syarat.