vivo V50 telah pun dilancarkan di India pada pertengahan Februari lalu dan ia dijangka akan tiba di pasaran Malaysia tidak lama lagi pada 13 Mac ini, menurut hantaran yang dikongsikan oleh laman Facebook rasmi Vivo Malaysia.
Hantaran tersebut menunjukkan warna merah burgundy pada latarnya dengan bayangan telefon pintar berkenaan yang kelihatan seperti baru timbul dari cecair berwarna tersebut. Ia dinyatakan sebagai “The Ancora Red Official Launch”, salah satu warna yang tidak kelihatan ketika pelancaran vivo V50 yang lalu.
Tidak banyak maklumat lain dikongsikan mengenai model telefon pintar baharu keluaran vivo di dalam hantaran tersebut. Apa yang sedia maklum, vivo V50 dikuasakan oleh pemprosesan Qualcomm Snapdragon 7 Gen 3, paparan 6.77-inci 120Hz, bateri 6,000mAh dengan pengecasan 90W dan kesemua kameranya mempunyai sensor 50MP.
Paling dinanti-nantikan adalah harga jualannya untuk pasaran tempatan apabila ia dilancarkan kelak yang dijangka akan dibuat pada minggu hadapan.