Valve telah mengumumkan pengembangan barisan perkakasannya dengan pengenalan semula dua produk ikonik, iaitu Steam Machine dan Steam Controller. Kedua-dua peranti ini kembali dengan nafas baharu, menawarkan prestasi dan ciri yang ditambah baik untuk pengalaman permainan video moden.
Steam Machine generasi baharu ini merupakan sebuah komputer peribadi (PC) kompak yang dioperasikan menggunakan SteamOS 3, sebuah sistem operasi berasaskan Linux. Ia dioptimumkan untuk sesi permainan video dan boleh disambungkan ke televisyen, membolehkan pengguna bermain di ruang tamu.
Valve mendakwa peranti ini mempunyai kuasa enam kali lebih tinggi berbanding Steam Deck, dengan sokongan untuk permainan pada resolusi 4K dan kadar 60 bingkai sesaat (FPS). Prestasi tinggi ini dimuatkan dalam sebuah bekas berbentuk kiub berukuran kira-kira enam inci.
Dari segi spesifikasi, Steam Machine dikuasakan oleh CPU AMD Zen 4 enam teras separa-kustom dengan kelajuan sehingga 4.8GHz. Untuk pemprosesan grafik, ia menggunakan GPU AMD RDNA3 separa-tersuai yang dipadankan dengan 16GB RAM DDR5 dan 8GB VRAM GDDR6.
Pengguna boleh memilih antara storan SSD NVMe berkapasiti 512GB atau 2TB, dengan kedua-dua model menyertakan slot kad microSD untuk storan tambahan. Ciri-ciri sambungan termasuk WiFi 6E, Bluetooth 5.3, dan pelbagai port seperti USB-A, USB-C, DisplayPort 1.4, HDMI 2.0, serta port ethernet.
Seterusnya Steam Controller, alat kawalan ini serasi dengan Steam Machine, Steam Deck, dan peranti lain yang menjalankan perisian Steam. Ia didatangkan dengan butang-butang biasa, picu, serta dwi-pad jejak (trackpad) untuk kawalan seakan tetikus dan kawalan giroskop.
Ciri uniknya adalah kayu bedik magnetik dengan penderia TMR dan sesentuh kapasitif. Alat kawalan ini menyokong sambungan berwayar dan Bluetooth, serta didatangkan dengan pemancar wayarles khas yang turut berfungsi sebagai stesen pengecas.
Menurut Valve, kedua-dua produk baharu ini dijangka akan dilancarkan pada awal tahun 2026. Buat masa ini, butiran lanjut mengenai harga dan ketersediaan pasaran untuk Steam Machine dan Steam Controller masih belum diumumkan secara rasmi.













