Samsung Galaxy Z Flip 6 merupakan telefon pintar boleh lipat yang bagus sebagaimana model-model boleh lipat keluaran Samsung sebelumnya. Bezanya, segmen ini sejak dua-tiga tahun lalu tidak lagi dimonopoli oleh Samsung dengan pengeluar-pengeluar lain mula memperkenalkan model masing-masing.
Dari segi kualiti, telefon pintar katup (flip) baharu keluaran Samsung ini masih lagi mengekalkan ciri premiumnya. Namun, peningkatan pada harga yang ditawarkannya mungkin membuatkan sesetengah peminat telefon gaya ini berfikir panjang sebelum membuat keputusan untuk mendapatkannya.
Sepanjang tempoh saya menggunakan Galaxy Z Flip 6 dalam beberapa minggu ini, secara ringkasnya dapat saya simpulkan prestasinya lebih baik dari modelnya yang terdahulu walaupun ciri reka bentuk luarannya tidak banyak berubah.
Kelebihan dan Kekurangan
Sekali pandang pada luaran Galaxy Z Flip 6 dengan Galaxy Z Flip 5 tidak banyak bezanya kecuali pada bahagian gegelung dwi-kameranya dan juga kemasan dan bentuk permukaan pada bahagian kerangkanya. Namun, di dalam telefon pintar boleh lipat gaya katup (flip) baharu keluaran Samsung ini, ia sarat dengan tawaran penambahbaikan dari segi prestasi dan tidak dilupakan, Galaxy AI!
Kelebihan
- Perkakasan terbaik tip-top
- Rintang air dan debu IP48
- Skrin utama yang elok
- Prestasi pantas dan lancar
- Kamera 50MP baharu
- Sokongan kemaskini 7 tahun
Kekurangan
- FlexWindow yang lebih kurang sama dengan Flip 5
- Kelajuan pengecasan yang biasa-biasa je
- Harga lagi mahal
- Tak jauh beza rekaan dengan Flip 5
Spesifikasi Samsung Galaxy Z Flip 6
| Ukuran (bila dibuka): | 165.1 x 71.9 x 6.9 mm |
| Ukuran (bila ditutup): | 85.1 x 71.9 x 14.9 mm |
| Berat: | 187g |
| Skrin utama: | Dynamic AMOLED 2X 6.7-inci, kadar penyegaran semula adaptif 1~120Hz, resolusi 1080 x 2640 piksel |
| Skrin hadapan: | Super AMOLED 3.4-inci, 60Hz, 720 x 748 piksel |
| Sistem operasi: | Android 14 melalui One UI 6.1.1 |
| Cipset: | Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy |
| Kamera belakang: | 50MP (f/1.8, 1.0μm) lebar, 12MP (f/2.2, 1.22μm) ultra-lebar |
| Kamera hadapan: | 10MP (f/2.2, 1.22μm) |
| RAM: | 12GB |
| Storan: | 256GB / 512GB |
| Bateri: | 4,000mAh |
| Pengecasan: | Berwayar 25W, nirwayar 15W, nirwayar berbalik 4.5W |
| Rangkaian dan ketersambungan: | 5G, LTE, WI-Fi 6E, Bluetooth 5.3, Nano SIM, eSIM |
| Kerintangan: | IP48 |
| Warna: | Silver Shadow, Yellow, Blue, Mint, Crafted Black, White, Peach |
Rekabentuk dan perkakasan
Binaan telefon pintar boleh lipat ini menunjukkan kualitinya yang cemerlang dan pengalaman lima tahun Samsung memperkenalkan telefon jenis ini ke pasaran jelas kelihatan. Galaxy Z Flip 6 hadir dengan binaan yang kukuh, kemas dan hampir sempurna.
Kemasan kerangka aluminium pada sisinya kini dalam bentuk matte berbanding berglos seperti model sebelumnya dengan bahagian bucu permukaan sisinya juga lebih bersegi dan rata. Sungguhpun nampak lebih kemas dan tegap, bahagian ini mungkin kurang ergonomik pada genggaman tangan sesetengah pengguna.
Engsel Galaxy Z Flip 6 juga amat cemerlang dengan bukaan dan lipatannya dapat dilakukan dengan lancar tanpa tersangkut-sangkut. Lipatannya juga boleh dilaraskan pada mana-mana sudut, sama seperti model-model Flip sebelumnya.
Samsung juga memperkenalkan rekaan “engsel dwi-landasan” yang kini lebih lasak. Menurutnya, telefon pintar kali ini juga mempunyai agihan hentakan yang lebih baik berbanding modelnya yang terdahulu dengan mekanisme bucu lipatan baharu menawarkan rintangan yang lebih baik terhadap tekanan dan objek tajam.
Bersama-sama penarafan IP48 yang menawarkan kerintangan air dan debu, ini mungkin telefon pintar boleh lipat yang paling lasak di pasaran. Ia merupakan buat julung kalinya diperkenalkan pada model siri ini dengan menawarkan ciri kerintangan debu melalui penarafan kerintangan air dan debu IP48.

Bukan hanya engsel sahaja yang Samsung cemerlang. Perincian-perincian lain juga diteliti dengan amat baik pada telefon pintar ini. Butang-butang yang ada padanya kemas dan terletak, dengan pembesar suaranya pula lantang dan jelas serta sensor cap jarinya pula cekap dan pantas.
Warna-warna pilihan
Untuk warnanya pula, Galaxy Z Flip 6 pada tahun ini ditawarkan dengan pilihan kuning (yellow), pudina (mint), biru (blue) dan kelabu (grey). Bagi anda yang membuat pembelian secara dalam talian menerusi laman web rasmi Samsung, anda akan ditawarkan dengan tiga pilihan warna tambahan iaitu – “Crafted Black”, peach dan putih. Pilihan warna “Crafted Black” berkenaan mempunyai kemasan seakan Kevlar pada permukaan belakangnya dan kelihatan mengancam jika dilihat dari jauh.
Berbeza dengan Galaxy Z Flip 5 sebelum ini, gegelung dwi-kamera pada Galaxy Z Flip 6 mempunyai warnanya sendiri mengikut pilihan warna masing-masing. Saiz kameranya yang lebih besar juga menjadikan gegelung yang berwarna tersebut lebih jelas kelihatan.
Skrin Galaxy Z Flip 6
Jika bercerita tentang siri Galaxy Z, pastinya kita tidak boleh meninggalkan skrinnya dan kita mulakan pada skrin utamanya yang boleh dilipat tersebut. Paparan yang boleh dilipat berkenaan merupakan panel AMOLED 6.7-inci dengan resolusi 2640 x 1080 dengan tahap kecerahannya kini mencecah pada 2,600 nits. Peningkatan tahap kecerahan ini juga agak tinggi berbanding Galaxy Z Flip 5 sebelum ini yang menawarkan 1,750 nits.
Lain-lain ciri padanya masih lagi kekal sama dengan Galaxy Z Flip 6 menawarkan paparan yang terang, berwarna warni dan jitu. Tontonan kandungan media seperti aplikasi YouTube dan juga menatal kandungan media sosial seperti WhatsApp, Facebook dan X juga cemerlang seperti yang dijangka dengan kepakaran Samsung dalam teknologi paparan.
Perlu diambil perhatian, kedutan pada bahagian tengah lipatannya juga untuk model kali ini semakin kurang ketara berbanding sebelumnya. Jika bahagian kedutan lipatan pada Galaxy Z Flip 5 dahulu kelihatan seperti parit, pada Flip 6 ia semakin mengecil dan kelihatan seperti Walaupun tidak hilang sepenuhnya, ia menunjukkan hala tuju yang betul ke arah paparan yang bebas kedutan sepenuhnya.
Sama seperti model sebelumnya, Galaxy Z Flip 6 menawarkan skrin hadapan (cover screen) AMOLED 3.4-inci beresolusi 720 x 748 piksel 60Hz yang sama. Ia membolehkan lebih banyak maklumat dan konteks dapat dipaparkan melalui widget-widget yang disokongnya. Anda juga boleh menjalankan aplikasi-aplikasi pada pada skrin berkenaan dengan menggunakan aplikasi Good Lock menerusi fungsi Multistar.
Bagi sesetengah pengguna, kebolehan menggunakan aplikasi secara penuh pada skrin hadapan ini mampu memudahkan penggunaan aplikasi terus pada skrin hadapan tanpa perlu membuka-menutup lipatan telefon pintar ini. Ciri ini tidak disediakan secara terus dan masih lagi perlu melalui fungsi Multistar di dalam Good Lock seperti Galaxy Z Flip 5. Diharapkan pada model yang akan datang ciri tersebut dapat diperkenalkan terus tanpa perlu melalui aplikasi tambahan seperti Good Lock.
Kamera Galaxy Z Flip 6
Kelebihan baharu pada Galaxy Z Flip 6 tanpa perlu model yang akan datang – kamera utama 50MP dengan OIS. Dwi-kamera yang ditawarkan pada model kali ini secara konsisten dapat memberikan gambar-gambar yang bagus.
Kamera utamanya 50MP berkenaan juga jenis yang sama digunakan pada Galaxy S24 dan S24 Plus. Ia disertakan bersama-sama kamera ultra-lebar 12MP dengan sudut pandangan 123-darjah, serta sebuah kamera 10MP pada sebelah atas skrin utamanya.
Secara keseluruhan, foto-foto yang dihasilkan oleh Galaxy Z Flip 6 ini nampak cantik. Imejnya jitu dan terperinci serta seringkali mewujudkan warna yang terang lagi sedap mata memandang. Peralihan mendadak dari kamera utama 12MP pada model sebelum ini kepada 50MP juga membawakan peningkatan yang ketara. Bukan hanya foto-foto biasa 1x sahaja yang kelihatan lebih jitu, malah foto zum digital pada Galaxy Z Flip 6 juga lebih berguna.
Foto yang diambil pada zum 2x juga kualitinya seakan-akan zum pada “kualiti optikal”, sama seperti yang didakwa oleh Samsung. Malah, kualiti zum pada 4x dan 10x juga boleh tahan kualitinya. Walaupun ia tidaklah sama seperti zum daripada kamera telefoto yang sebenarnya, sekurang-kurangnya sistem kamera untuk model keluaran tahun ini lebih versatil.
Kamera ultra-lebar 12MP juga dikirakan sebagai baik. Memang terdapat sedikit herotan pada bucunya, namun dengan sudut pandangan 123-darjah, anda boleh mendapatkan lebih banyak ‘isi’ daripada foto berkenaan. Foto-foto yang diambil menggunakan kamera ini juga menawarkan perincian yang sekadarnya sungguhpun resolusinya lebih rendah pada 12MP. Warna pada fotonya pula kelihatan amat mirip degan foto yang diambil oleh kamera utama.
Sama seperti modelnya yang terdahulu, Galaxy Z Flip 6 masih lagi berdepan dengan kesukaran mengambil foto subjek yang sedang bergerak. Warnanya pula, terutama pada foto langit akan kelihatan ‘amat biru’ sama seperti kebanyakan kamera pada model-model Samsung yang lain.
Prestasi dan Bateri Samsung Galaxy Z Flip 6
Pemprosesan yang digunakan untuk Galaxy Z Flip 6 merupakan jenis yang sama digunakan pada Galaxy S24 Ultra iaitu Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 For Galaxy. Untuk model pada tahun ini juga kapasiti untuk memorinya meningkat kepada 12GB berbanding sebelum ini yang menawarkan dari 8GB. Seperti yang dijangkakan, peningkatan ini membawakan penambahbaikan prestasi yang ketara.
Wajar diambil perhatian, Galaxy Z Flip 6 merupakan telefon pintar siri Z Flip pertama yang didatangkan dengan kebuk pengewapan (vapor chamber). Ia juga 50% lebih besar berbanding yang terdapat pada Galaxy S23 Ultra.
Ini menjadikan Z Flip 6 jauh lebih sejuk apabila digunakan dalam keadaan berkeperluan pemprosesan tinggi seperti memainkan kandungan beresolusi tinggi, membuka kamera atau memainkan permainan mudah alih dengan grafik tinggi dalam masa yang panjang.
Sepanjang tempoh penggunaannya, hanya sekali sahaja saya berasa panas. Itupun ketika penetapan kali pertama selepas menghidupkannya kerana kemaskini aplikasi dan perisiannya. Selepas dari itu dan juga pada kebanyakan masa, Galaxy Z Flip 6 kekal pada suhu bilik.
Bateri berkapasiti 4,000mAh pada Galaxy Z Flip 6 merupakan yang paling besar Samsung pernah letakkan di dalam siri Z Flip. Ia membuatkan kita berasa lebih yakin yang ia mampu bertahan sehingga sehari suntuk dari model-model sebelumnya. Pada kebiasaannya saya mendapati paras bateri akan berada sekitar 25% sebelum saya masuk tidur pada jam 11 malam.
Bagaimanapun, kelajuan pengecasan untuk model telefon pintar boleh lipat baharu keluaran Samsung ini masih lagi kekal dengan 25W untuk pengecasan secara berwayar. Pengecasan nirwayarnya pula pada 15W dan 4.5 untuk pengecasan nirwayar berbalik. Samsung mempunyai alasannya yang tersendiri untuk mengapa sokongan kadar pengecasan pada tahap itu masih lagi ditawarkan untuk telefon pintar mercu keluaran tahun 2024.
Perisian dan Kemaskini
Galaxy Z Flip 6 didatangkan dengan Android 14 melalui antaramuka Samsung One UI 6.1.1. Bagi anda yang merupakan pengguna tegar Samsung, antaramuka ini tidak canggung untuk digunakan dan selesa untuk digunakan. Versi One UI terkini ini juga lancar, kemas dan sarat dengan ciri-cirinya.
Walaupun perkakasan untuk skrin hadapannya tidak berubah, beberapa perubahan dari segi perisiannya wajar diraikan. Selain dari pengubahsuaian skrin hadapan dengan widget bersaiz penuh seperti cuaca, kalendar dan banyak lagi, anda kini boleh mempunyai halaman-halaman dengan sejumlah widget-widget kecil.
Misalnya, satu halaman dengan tiga widget Samsung Health yang berbeza dan akan menunjukkan lebih banyak maklumat jika kita mengetik pada setiap salah satu daripadanya. Perubahan ini tidaklah besar, namun tetap memberikan impak pada pengalaman kepenggunaan.
Sokongan Galaxy AI pada Galaxy Z Flip 6
Ciri-ciri Galaxy AI yang diperkenalkan pada siri Galaxy S24 terdapat pada Galaxy Z Flip 6. Ia termasuklah Circle to Search, aplikasi Interpreter, Chat Assist dan sebagainya. Ciri-ciri ini semua boleh digunapakai sama seperti pada telefon pintar Samsung. Cuma, khusus untuk Flip tahun ini, Galaxy AI memperkenalkan beberapa penambahan eksklusif.
Salah satunya, mod Interpreter boleh digunakan bersama-sama skrin hadapan. Ia akan menunjukkan bahasa yang kita gunakan pada skrin utama dengan bahasa yang digunakan oleh pengguna yang satu lagi akan dipaparkan pada skrin hadapan.
Amat berguna jika anda pergi ke negara lain dan cuba berborak dengan orang yang bercakap menggunakan bahasa lain. Secara teorinya, ia lebih mudah jika dibandingkan dengan kedua-duanya melihat pada satu paparan yang sama.
Selain itu, jika anda melihat pada mesej di skrin hadapannya, Chat Assist boleh menganalisa perbualan anda dan mencadangkan maklumbalas berdasarkan konteks sesebuah mesej tersebut.
Turut diperkenalkan ciri “Sketch to Image” baharu dan seperti namanya, anda boleh melukis atau menconteng di atas foto yang telah anda tangkap. Galaxy AI kemudiannya akan mengubahkan lukisan atau contengan tersebut kepada objek-objek mengikut apa yang dilukiskan itu tadi. Hasil ujian kami, hanya satu objek sahaja yang akan dijana dari contengan tersebut. Anda boleh menconteng berulang kali di atas foto-foto yang dijanakan sebelumnya. Cuma anda akan dapat melihat foto yang sama dijana berulang kali dengan contengan yang berbeza akan kelihatan aneh pada warnanya.
Dari segi kemaskini, Samsung Galaxy Z Flip 6 dijanjikan dengan kemaskini perisian untuk selama tujuh tahun termasuk naik taraf sistem operasi Android dan juga kemaskini keselamatan. Sokongan yang sama ditawarkan untuk siri Galaxy S24 dan ia diperluaskan kepada Galaxy Z Flip 6.
Harga Samsung Galaxy Z Flip 6 di Malaysia

Pilihan warna yang ditawarkannya terdiri daripada Blue, Silver Shadow, Yellow dan Mint, serta tiga warna eksklusif dalam talian – Crafted Black, White dan Peach. Pembelian secara pra-tempahan juga berpeluang untuk menikmati tawaran tambahan seperti e-baucar sehingga RM500, tawaran tukar-beli, diskaun tambahan untuk pembelian PWP dan aksesori, serta perlindungan kerosakan Samsung Care+ percuma untuk 1 tahun.
Samsung Galaxy Z Flip 6 telah pun mula memasuki pasaran Malaysia pada 24 Julai 2024 yang lalu dan anda boleh mendapatkannya di laman web rasmi Samsung Malaysia. Bagi konfigurasi RAM 12GB dan storan 256GB, telefon pintar boleh lipat gaya katup ini dijual pada harga RM4,999 dengan RAM 12GB dan storan 512GB pula dijual pada harga RM5,599. Sokongan perisian dari segi sistem operasi dan keselamatannya ditawarkan sehingga tujuh tahun dari pihak Samsung.
- Samsung Galaxy Z Flip 6 RAM 12GB + storan 256GB – RM4,999
- Samsung Galaxy Z Flip 6 RAM 12GB + storan 512GB – RM5,599
Layari laman web rasmi Samsung Malaysia untuk pra-tempahan Samsung Galaxy Z Flip 6.



























