Utama Android Samsung Ulasan Samsung Galaxy A56 5G: Tawaran Ciri-Ciri AI Mercu pada Harga Menarik

Ulasan Samsung Galaxy A56 5G: Tawaran Ciri-Ciri AI Mercu pada Harga Menarik

90
0

Samsung terus memperkukuhkan kedudukannya dalam pasaran telefon pintar kelas pertengahan dengan pelancaran model terbaharunya, Samsung Galaxy A56. Telefon pintar ini menjanjikan nilai yang menarik kepada pengguna Malaysia dengan harga yang kompetitif, storan yang besar, bateri yang dioptimasikan untuk tahan lama, dan integrasi beberapa ciri kecerdasan buatan (AI) yang unik.

Kami di Harian Teknologi baru-baru ini telah berkesempatan untuk meneliti dengan lebih dekat spesifikasi dan ciri-ciri yang ditawarkan oleh telefon pintar baharu keluaran Samsung ini.

Ketersediaan dan Harga di Malaysia

Bermula dari 18 Mac sehingga 31 Mac 2025, Samsung Malaysia menawarkan Galaxy A56 5G, bersama-sama Galaxy A36 5G dan A26 5G ganjaran bernilai sehingga RM429. Ia merangkumi promosi naik taraf storan 2X bernilai RM200, e-baucar eksklusif RM100 dan waranti lanjutan 1 tahun. Turut ditawarkan diskaun pembelian dengan pembelian (PWP) 30% untuk Galaxy Watch, Buds, Tab atau aksesori terpilih.

  • Galaxy A56 12GB+256GB (RRP: RM2,199) – RM1,999 (naiktaraf storan 2x)
  • Galaxy A56 8GB+128GB (RRP: RM1,999) – RM1,799 (naiktaraf storan 2x)

Anda boleh mendapatkan telefon pintar ini menerusi laman web rasmi Samsung Malaysia, kedai rasmi Samsung di Shopee dan Lazada serta wakil-wakil pengedar yang sah di seluruh negara.

Dari segi pilihan warna, Galaxy A56 5G hadir dengan warna-warna yang terdiri daripada , Awesome Graphite, Awesome Olive, Awesome Pink dan Awesome Lightgray seperti unit ulasan yang kami terima ini.

Spesifikasi Samsung Galaxy A56 5G

Ukuran162.2 x 77.5 x 7.4mm
Berat198g
OSOne UI 7 berasaskan Android 15
Paparan6.9-inci AMOLED, 120Hz
PemprosesanSamsung Exynos 1580
RAM8GB / 12GB
Storan128GB / 256GB
Bateri5,000mAh, pengecasan berwayar 45W
Kamera Belakangutama 50MP (f/1.8), ultra-lebar 12MP (f/2.2), makro 5MP (f/2.4)
Kamera Depan12MP (f/2.2)
PengecasanBerwayar 45W, nirwayar 15W

Kelebihan dan Kekurangan

Kelebihan

  • Harga tidak jauh beza dengan model tahun lepas
  • Bateri yang dioptimasikan untuk tahan lebih lama
  • Ciri-ciri AI seperti yang terdapat pada peranti mercu

Kekurangan

  • Tiada ciri-ciri unik yang membezakannya dengan telefon pintar peringkat menengah yang seangkatan dengannya di pasaran.
  • Kamera makro yang biasa-biasa sahaja.
  • Tiada slot kad mikroSD.

Rekabentuk dan Paparan

Samsung Galaxy A56, sama seperti siri Galaxy A keluaran kali ini hadir dengan reka bentuk yang cukup unik untuk membezakannya dengan siri Galaxy S. Ia menampilkan ciri rekabentuk ‘aluminum camera pill’ yang menempatkan kamera-kamera di bahagian belakang.

Pada sebelah sisinya terdapat butang kuasa dan butang kawalan audio pada ruangan yang telah dinaikkan sedikit yang tidak sama ketinggiannya dengan permukaan sisinya yang lain.

Galaxy A56 5G mempunyai penarafan kerintangan debu dan air IP67, sama seperti Galaxy A55. Namun sedikit ketinggalan dengan model-model mercu seperti siri Galaxy S25 yang mempunyai IP68. A56 juga dilindungi oleh panel kaca Victus Plus untuk bahagian hadapan dan belakangnya. Ia boleh dikirakan sebagai tahan lasak walaupun tidak sekuat Victus 2, Victus 2 Plus mahupun Gorilla Armor yang lebih terkini.

Apa yang membuatkan saya berasa sedikit ralat adalah pada kemasan berglos pada permukaan belakangnya. Ia meninggalkan kesan cap jari yang ketara berbanding kemasan kaca bertekstur atau plastik, menjadikan ia lebih mudah kelihatan comot.

Sama seperti model sebelumnya, paparannya masih lagi kekal dengan 6.7-inci FHD namun dibezakan sedikit dengan bingkainya yang lebih nipis berbanding A55. Walaupun ia bukanlah telefon pintar bertaraf mercu, paparannya tetap menawarkan kualiti yang cerah dan berseri bersama-sama kadar penyegaran semula 120Hz. Menurut Samsung, paparannya ini mampu mencapai kecerahan puncak sehingga 1900 nits.

Prestasi

Galaxy A56 5G merupakan model paling berkuasa di kalangan siri telefon pintar Galaxy A 2025 yang turut mengandungi Galaxy A36 dan Galaxy A26. Ketiga-tiga model ini mempunyai ukuran yang hampir sama dengan paparan AMOLED 6.7-inci dan juga saiz bateri yang sama 5,000mAh.

Ia dibezakan pada penggunaan pemprosesannya dengan Galaxy A56 5G memiliki kuasa pemprosesan paling tinggi melalui pemprosesan Samsung Exynos 1580. Ia juga menjadi peranti pertama di pasaran yang menggunakan pemprosesan tersebut.

Selaku pewaris kesinambungan kepada pemprosesan Exynos 1480 yang digunakan pada Galaxy A55 pada tahun lepas, Exynos 1580 merupakan pemprosesan peringkat menengah yang dibina melalui proses pembuatan 4nm. Ia memanfaatkan teras CPU Cortex A720 dan Cortex A520 baharu berbanding teras Cortex A78 dan Cortex A55 sebelum ini.

Tidak seperti sebelum ini yang menggunakan tetapan dua gugusan (bi-cluster), Exynos 1580 menggunakan senibina tiga gugusan (tri-cluster) yang mengandungi satu teras beras, tiga teras sederhana dan empat teras kecil. Teras yang paling besar mempunyai klok 2.9Ghz, dengan tiga teras sederhana 2.6GHz dan empat teras kecil 1.95GHz. Exynos 1580 juga menggunakan grafik Xclipse 540 berasaskan AMD RDNA3 yang menawarkan prestasi 37% lebih baik berbanding Exynos 1480.

Ia mampu memainkan permainan yang berkeperluan grafik tinggi seperti Call of Duty, dan Genshin Impact dengan baik tanpa sebarang masalah kemerosotan kadar bingkai pada grafiknya.

Telefon pintar ini juga boleh beroperasi dengan stabil ketika tahap penggunaan yang tinggi. Haba yang dilepaskannya juga dikendalikan dengan baik hasil daripada pengurusan haba yang lebih cekap dan ruangan kebuk pengewapan yang lebih besar berbanding model sebelumnya.

Galaxy A56 5G juga hadir dengan dua pilihan konfigurasi RAM dan storan. Ia terdiri daripada pilihan model asas RAM 8GB dan storan 128GB, serta model pilihan RAM 12GB dan storan 256GB. Model kali ini bagaimanapun tidak didatangkan dengan slot kad mikroSD bagi tujuan penambahan ruangan storan.

Perisian

Dari segi perisiannya, telefon pintar ini menggunakan Android 15 melalui antaramuka One UI 7, jenis yang sama digunakan pada siri Galaxy S25. Berbeza dengan siri Galaxy S25 yang mengetengahkan Galaxy AI, siri Galaxy A baharu ini menamakan fungsi-fungsi berasaskan kecerdasan buatan ini sebagai Awesome Intelligence.

Beberapa ciri-ciri AI untuk memanipulasikan imej seperti Object Eraser, Edit Suggestions dan Auto Trim, turut tersedia di dalam Galaxy A56 5G ini. Malah, bersama-sama kermaskini One UI 7, Galaxy A56 5G juga didatangkan dengan tambahan baharu seperti Circle to Search with Google, dan mod Best Face.

Pengendaliannya melalui antaramuka One UI 7 amat lancar dan intuitif hasil dari penambahbaikan berterusan yang dijalankan oleh Samsung sejak dari ia mula diperkenalkan. Seperti kebanyakan telefon pintar Samsung yang dilancarkan semenjak kebelakangan ini, Galaxy A56 5G juga menerima sokongan kemaskini jangka masa panjang sehingga 6 tahun untuk sistem operasi dan juga keselamatan.

Kamera

Kamera-kamera Galaxy A56 secara asasnya lebih kurang sama dengan A55 sebelum ini  dengan menampilkan kamera utama 50MP, kamera makro 5MP dan kamera ultra lebar baharu 12MP. Cuma bezanya, kamera ultra-lebar 12MP kali ini menggunakan sensir baharu. Kamera dihadapannya juga masih sama 12MP, namun telah diperlihatkan dengan peningkatan prestasi dalam keadaan kurang pencahayaan dan sokogan video HDR.

Melalui penggunaan pemprosesan Exynos 1580, fotografi pada Galaxy A56 5G turut dipertingkatkan pada Pemprosesan Isyarat Imejnya (Image Signal Processor, ISP). Hasilnya terdapat pengurangan pada hingar terutamanya untuk imej yang ditangkap di dalam keadaan kurang pencahayaan. Prestasi pengimejan di tempat yang agak gelap juga dilihat mengalami sedikit peningkatan terutama pada persembahan warna serta julat dinamiknya.

Berikut adalah contoh foto-foto yang diambil menggunakan Galaxy A56 5G:

Selaku telefon pintar peringkat menengah, kamera Galaxy A56 5G mempunyai kelasnya yang tersendiri dengan menawarkan prestasi tangkapan yang konsisten di siang hari. Imej yang diambilnya mempunyai perincian dan julat dinamik yang baik serta warna yang dipaparkannya kelihatan sedikit tumpat berbanding warna biasa. Malah, mod potret yang diambilnya juga nampak elok menyaingi kualiti yang ditawarkan oleh peranti mercu.

Tiada kamera zum telefoto khas disediakan. Justeru, Galaxy A56 5G sekadar berpuas hati dengan zum terbaik sehingga 2X sahaja. Kamera makro pula mungkin jarang-jarang digunakan oleh sebahagian besar pengguna.

Sebagaimana imej fotonya, video pada berkualiti 4K@30fps yang diambilnya menawarkan tahap perincian dan julat dinamik yang baik dengan pengolahan warna sedap mata memandang, baik ketika waktu siang mahupun ketika waktu malam yang dilimpahi sinar neon dan lampu-lampu di kota raya.

Bagaimanapun, ketiadaan slot kad mikroSD mengurangkan kelebihan untuk menyimpan kandungan-kandungan media bersaiz besar. Kebergantungan pada storan dalaman sahaja mungkin memerlukan pengguna kerap memindahkan ke storan luaran lain atau menyandarkan ke perkhidmatan awanan.

Tolak tepi soal ruangan storan, kamera-kamera yang disediakan pada Galaxy A56 5G mampu memberikan hasil kualiti yang konsisten kecuali dalam beberapa keadaan yang sukar. Bagi pengguna biasa yang sering mengambil foto keluarga, pemandangan, swafoto atau gambar-gambar makanan, kualiti yang diberikan lebih daripada mencukupi.

Lain-lain ciri

Samsung Galaxy A56 dibekalkan dengan bateri berkapasiti 5,000 mAh. Ia mampu memberikan penggunaan sepanjang hari bagi kebanyakan pengguna dengan tempoh penggunaan yang tinggi sekitar sehingga 16 jam.

Telefon pintar ini juga menyokong pengecasan berwayar 45W yang mengambil masa mengecas dari sifar hingga penuh sekitar 1 jam 15 minit. Namun seperti biasa, tiada palam pengecas disediakan di dalam kotak pembungkusannya.

Pembesar suara stereo padanya juga mempunyai kualiti yang baik sebagaimana model sebelumnya dengan menawarkan audio yang bagus terutama ketika melayan kandungan Netflix atau Spotify anda.

Kesimpulan

Samsung Galaxy A56 dilihat disasarkan kepada anda yang berhasrat ingin mendapatkan telefon pintar kelas pertengahan yang mengutamakan keseimbangan keseluruhan. Ia memiliki ciri-ciri yang merangkumi storan yang besar, bateri yang optimum dan pemprosesan yang cekap.

Walaupun ketiadaan slot kad mikroSD pada Galaxy A56 5G mungkin menyukarkan sesetengah pengguna, kekurangan tersebut mungkin bukanlah sesuatu yang besar bagi pengguna yang lain. Ciri-ciri lain yang unik berfokuskan AI melalui Awesome Intelligence juga memberikan nilai tambah dari segi perisiannya bersama-sama sokongan yang panjang sehingga enam tahun.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.