Kualiti udara memainkan peranan yang penting di dalam kehidupan seharian kita terutamanya bagi penghuni kotaraya. Persekitaran yang bersih dari sebarang pencemaran udara membantu meningkatkan tahap kesihatan dan melindungi seisi keluarga dari risiko penyakit.

Atas sebab itu, penggunaan pembersih udara mampu membantu pengguna mendapatkan udara berkualiti di dalam ruang kediaman. Namun, harga yang ditawarkan oleh sesetengah pengeluar berjenama besar amat mahal dan boleh menyekat hajat untuk memilikinya.

Memperkenalkan PRISM+ Aura yang baharu sahaja tiba di pasaran Malaysia dengan harga jualan RM429. Bagi sesetengah pengguna, PRISM+ sering dikaitkan dengan barisan produk-produk berkaitan monitor dan juga televisyen. Kini dengan adanya pembersih udara, PRISM+ memperluaskan lagi penawaran produk-produknya bagi peralatan kelengkapan rumah.

Dari segi rekabentuk, PRISM+ Aura direka khusus bagi menampung keperluan bilik yang kecil memandangkan saiznya yang kompak. Ia didatangkan dengan pilihan warna Space Grey atau Alpine White (seperti unit ulasan yang kami terima ini).

Apa yang menjadikan ia kelihatan menarik adalah pada rekabentuknya berkontur membulat. Pada bahagian atasnya terdapat bahagian bebola dengan mata beranimasi yang mengingatkan kita pada watak EVE dari filem Wall-E.

Mata pada pembersih udara ini bukan sekadar hiasan atau gimik semata-mata. Ia berperanan sebagai petunjuk kualiti udara sama ada baik atau buruk di ruangan tersebut dengan sekali imbas.

PRISM+ Aura berfungsi dengan cara yang sama seperti pembersih udara lain. Ia menyedut udara menerusi penapis pada bahagian tapaknya dan mengeluarkan udara yang bersih di sebelah atasnya.

Pemasangan

Di dalam kotak pembungkusnya, selain pembersih udara berkenaan turut disediakan kabel dan palam kuasa, serta penapis HEPA yang perlu anda pasang sendiri dari bahagian bawahnya. Penapis HEPA ini juga boleh dibeli secara berasingan pada harga RM99 jika ia sudah mencapai ke tahap perlukan penggantian.

Memasangkan pembersih udara ini tidaklah begitu sukar. Anda boleh memuat turun aplikasi PRISM+ Connect dan menggandingkan dengan rangkaian internet kediaman anda. Semakan kualiti udara boleh dibuat menerusi aplikasi tersebut selain boleh mengawal tetapannya. Fungsi-fungsi pada pembersih udara ini hanya boleh dilakukan melalui aplikasi kerana secara fizikal ia hanya mempunyai butang on dan off sahaja.

Di dalam aplikasi tersebut, anda boleh menetapkan rutin ia diaktifkan setiap hari dan juga mengawal fungsi kipas dan penapisan udaranya. Selain mod auto dan mod malam, anda juga boleh menetapkan sendiri tiga tahap kelajuannya dari low, mid dan high.

Prestasi

Pengujian PRISM+ Aura pada pandangan saya memerlukan peralatan khusus untuk menguji tahap kualiti udara yang tidak ada pada saya. Oleh itu, saya memberikan pendapat berdasarkan pengalaman pengguna biasa sahaja.

Sepanjang seminggu menggunakan pembersih udara ini, kebetulan anak saya mengalami sakit tekak dan selesema kerana alergik dengan habuk. Bersin dan hidung berair pada waktu pagi kerap juga berlaku. Situasi ini biasa kalau di kampung kita panggil ia sebagai ‘resdung’.

Sepanjang tempoh tersebut, saya mendapati simptom alergiknya mengalami pengurangan dan pada pengamatan saya pembersih udara ini membantu. Pembersih udara ini bagaimanapun hanya sesuai digunakan bagi bilik-bilik yang kecil untuk dimanfaatkan sepenuhnya.

Bacaan udara berubah jika berlaku kemerosotan kualiti sebagaimana di dalam contoh ini, kualiti udara ketika memasak di dapur.

Menurut PRISM+, penapis udara yang digunakan pada peralatan ini merupakan HEPA H13 bergred perubatan. Ia berupaya menapis dan memerangkap 99.97% kotoran bawaan udara seperti alergen, debu, rambut, debungan dan juga kutu habuk. Bagi anda yang mempunyai haiwan peliharaan, penapis udara ini juga boleh membantu anda mengurangkan bulu-bulu yang berguguran di dalam bilik berkenaan. Untuk penggantian penapis, ia kebiasaannya mampu digunakan sehigga setahun sebelum ia perlu digantikan.

Turut dilengkapkan, penapis karbon terbina di dalamnya membantu memerangkap bau-bauan. Ia berguna bagi mengurangkan kesan bau terutamanya di dalam bilik yang berbau ‘kepam’ akibat kelembapan atau berhampiran dengan dapur.

Kesimpulan

Pembersih udara PRISM+ Aura mampu menggalaskan tugasnya sebagaimana yang diharapkan iaitu membersihkan udara pada kos yang rendah dan saiz ruangan yang kecil. Ia juga boleh dijadikan kipas dengan mengawalkannya melalui aplikasi khusus PRISM+ Connect.

Anda yang berminat untuk mendapatkan pembersih udara pada harga mampu milik boleh mendapatkan PRISM+ Aura di laman web rasmi PRISM+ atau menerusi wakil-wakil pengedar yang sah di seluruh negara.

Tinggalkan komentar