HONOR Magic8 Pro hadir sebagai telefon pintar mercu Android 2025 dengan fokus pada kamera malam, ciri AI dan ketahanan fizikal yang sangat tinggi. Ia mensasarkan pengguna tegar media sosial, pencipta kandungan dan pengguna profesional.

Di Malaysia, ia ditawarkan dengan pilihan memori 12GB RAM, storan 512GB storan pada harga sekitar RM4,599 dan pilihan memori 16GB RAM, storan 1TB pada harga sekitar RM5,199.

Ia menjadikannya antara telefon pintar mercu paling berdaya saing di pasaran tempatan dengan menawarkan kelebihan hampir menyeluruh dari segi prestasi, bateri dan kamera terutamanya pada fotografi malam dan zum telefoto.

Reka bentuk, ketahanan & paparan

HONOR Magic8 Pro mengekalkan bahasa reka bentuk siri Magic dengan modul kamera besar berbentuk segi empat membulat di belakang, bersama sisi dan panel belakang dengan kemasan warna sepadan, termasuk varian Sunrise Gold yang kelihatan premium serta tidak mudah memerangkap cap jari.

Telefon pintar ini menggunakan kaca NanoCrystal Shield pada skrin hadapan dengan pensijilan SGS 5 Bintang rintangan jatuh dan penarafan IP68/IP69/IP69K. Ia membolehkannya menahan debu, air dan suhu tinggi yang biasanya tidak disokong oleh kebanyakan flagship lain.​

Bahagian kanan rangka menempatkan butang kuasa, kawalan bunyi dan satu butang pintas AI khusus, yang memudahkan akses pantas ke fungsi seperti Circle to Search, AI Memory serta fungsi butang fizikal kamera. Penambahbaikan ini disifatkan sebagai naik taraf kecil yang praktikal untuk pengalaman harian.

Di bahagian bawah terdapat port USB-C, pembesar suara dan talam SIM. Manakala gegelung pengecasan tanpa wayar terletak di kawasan bawah panel belakang yang membolehkan telefon pintar ini menyokong pengecasan tanpa wayar dan pengecasan tanpa wayar berbalik.​

Dari segi paparannya pula, HONOR Magic8 Pro dilengkapkan dengan skrin 6.71 inci LTPO OLED Honor AI Eye Comfort, dan resolusi 1,256 x 2,808 piksel. Turut disediakan kadar segar semula adaptif 1–120Hz, kecerahan puncak sehingga 6,000 nit, sokongan HDR Vivid, Dolby Vision dan liputan 100% gamut warna DCI‑P3.

HONOR turut menggabungkan teknologi Eye Comfort (termasuk PWM 4,320Hz) bagi mengurangkan pancaran cahaya biru, mengurangkan keletihan mata dan menjadikan paparan lebih selesa ketika digunakan lama atau di dalam kenderaan bergerak.

Prestasi, perisian & bateri

Di dalamnya, Magic8 Pro dipacu oleh cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 yang digandingkan dengan RAM LPDDR5X 12GB dan storan UFS 4.1 512GB seperti unit ulasan yang kami terima ini.

Ia juga didatangkan dengan pilihan varian 16GB RAM dan 1TB storan untuk pengguna yang memerlukan ruang lebih besar. Keupayaan perkakasannya ini menjadikannya antara telefon pintar Android terpantas untuk permainan berat, suntingan video dan penggunaan berbilang tugas.​

Magic8 Pro menjalankan Android 16 dengan antaramuka MagicOS 10 yang juga menawarkan pilihan 12GB RAM maya (RAM Turbo). Sokongan perisiannya ini juga hadir dengan pelbagai integrasi AI seperti pengurusan memori serta cadangan pintar. Pun begitu sistem ini masih mempunyai bloatware berbanding Android “stok”.

Naik taraf generasi kali ini juga lebih bersifat iteratif. Namun dengan gabungan cip pemprosesan pantas, RAM besar dan butang AI baharu menjadikannya sebuah telefon pintar mercu untuk kegunaan harian yang mantap.​

Dari segi bateri, HONOR Magic8 Pro menempatkan bateri besar 7,100mAh dengan sokongan pengecasan pantas 100W berwayar dan 80W tanpa wayar, selain pengecasan berbalik untuk mengecas peranti lain.

Ia mampu bertahan sehingga sekitar 17 jam bagi penggunaan berterusan dan mampu bertahan hampir dua hari dengan penggunaan biasa (panggilan singkat, media sosial, penstriman dan permainan ringan). Tempoh ketahanan penggunaan bateri ini meletakkannya di hadapan kebanyakan pesaing utama dari segi ini.

HONOR juga memberi perhatian kepada audio dengan penggunaan ruang akustik 8cc lebih besar dan algoritma audio spatial sendiri, menghasilkan bunyi lebih lantang, luas dan seimbang tanpa herotan walaupun pada tahap volum maksimum. Tidak jika saya berpandangan telefon pintar ini serba lengkap dari segi prestasi, bateri dan ketahanan, sesuai untuk pengguna yang mahu satu telefon pintar utama untuk kerja dan hiburan.

Kamera & ciri AI

Sistem kamera belakang HONOR Magic8 Pro terdiri daripada kamera utama 50MP Ultra Night f/1.6 dengan OIS (sensor 1/1.3 inci), kamera telefoto 200MP Ultra Night f/2.6 dengan OIS dan zum optik 3.7x (sensor 1/1.4 inci, zum sehingga 100x), serta kamera ultra lebar 50MP f/2.0 dengan sudut 90 darjah.

Di hadapan, terdapat kamera swafoto 50MP f/2.0 dengan sokongan rakaman video sehingga 4K 60fps, manakala kamera belakang pula mencapai rakaman 4K 120fps untuk rakaman gerakan lancar seperti sukan atau aksi pantas.​

HONOR melengkapkan kamera ini dengan Night Engine untuk mempertingkat prestasi cahaya malap, Stability Engine dengan penstabilan setara CIPA 5.5 dan Portrait Engine serba baharu dengan lebih banyak panjang fokus serta mod pentas untuk potret sinematik.

Kombinasi sensor besar, telefoto 200MP dan algoritma AI ini menjadikan Magic8 Pro antara telefon kamera terbaik 2025 dengan hasil gambar malam dan zum jarak jauh yang mengagumkan sehingga sekitar 10x. Manakala untuk foto sehingga 3.7x masih mengekalkan kualiti hampir tanpa kehilangan butiran.​

Prestasi kamera malam Magic8 Pro juga sangat menonjol, termasuk ketika dibandingkan dengan iPhone 17 Pro Max di zum 10x dalam cahaya rendah. Ia diterjemahkan melalui gambar yang lebih jelas, kurang hingar dan butiran lebih terpelihara.

Walaupun zum digital boleh pergi sehingga 100x, pandangan saya pemprosesan AI pada tahap ekstrem ini lebih sesuai untuk rakaman suka-suka. Manakala julat sekitar 30x masih kelihatan agak baik dalam kebanyakan situasi.​

AI Magic8 Pro

Dari aspek ciri AI, Magic8 Pro menyokong pelbagai fungsi seperti Magic Color (untuk memadankan tona warna foto lain), AI Deepfake Detection untuk mengesan muka palsu ketika panggilan video dan kemas kini dijadualkan menambah kebolehan mengesan suara tiruan.

Fungsi Magic Color membolehkan pengguna menyalin gaya warna filem popular atau jenama kamera lain pada foto mereka tanpa perlu mahir penyuntingan warna mendalam, menjadikannya alat kreatif yang berkuasa untuk pencipta kandungan.​

Kehadiran AI Photos Agent pula khusus untuk memadam objek yang mengganggu, memastikan mata subjek terbuka, meningkatkan resolusi imej serta menambah kesan kreatif pada video. Seterusnya AI Memories dan AI Subtitles menjana ringkasan kandungan serta sari kata masa nyata.

Telefon ini turut menawarkan AI Settings Agent bagi mengawal tetapan seperti Wi‑Fi, Bluetooth atau kecerahan skrin melalui arahan suara, selain menyokong pembantu AI Gemini untuk tugasan menjana teks atau idea.​

HONOR Magic8 Pro juga dinilai sebagai antara telefon dengan sistem kamera AI paling maju ketika ini. Gabungan kualiti optik, pemprosesan pintar dan ketahanan fizikal yang menjadikannya sesuai untuk penggunaan luar dan fotografi intensif.

Tidak syak lagi, ia merupakan sebuah “camera phone” serius yang tidak hanya bergantung pada sensor besar, tetapi juga enjin AI yang matang untuk menghasilkan foto dan video yang kelihatan profesional terus dari telefon.

Kesimpulan

Secara keseluruhan, HONOR Magic8 Pro tampil sebagai telefon flagship yang seimbang dengan kelebihan ketara pada kamera malam, zum telefoto, bateri besar dan set ciri AI yang kaya, menjadikannya sesuai untuk pencipta kandungan, vlogger dan pengguna yang kerap merakam foto atau video dalam pelbagai keadaan.

Bagi pengguna di Malaysia yang mahukan telefon Android serba lengkap dengan ketahanan lasak, prestasi tinggi dan ekosistem ciri pintar tanpa perlu membayar harga lebih tinggi seperti beberapa pesaing utama, HONOR Magic8 Pro wajar berada dalam senarai pendek untuk dipertimbangkan.

Tinggalkan komentar