Semasa Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) yang berlangsung bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Google mengumumkan beberapa inisiatif baharu untuk rantau ASEAN, termasuk Malaysia.
Usaha ini bertujuan melengkapkan rakyat dengan kemahiran AI bagi menghadapi ekonomi berasaskan AI, serta memajukan bidang utama seperti penyelidikan dan kelestarian. Inisiatif-inisiatif ini menyokong pertumbuhan dan inovasi inklusif di seluruh rantau ini.

Menurut laporan ‘AI Opportunity in Southeast Asia’, penggunaan AI kini berkembang pesat, dengan 70% rakyat di rantau ini menggunakan alat AI generatif setiap minggu. Penerapan meluas ini berpotensi memacu fasa pertumbuhan seterusnya dan menyumbang sehingga AS$270 bilion kepada ekonomi rantau ini.
Ketika AI terus membentuk semula ekonomi dan komuniti, Google kini melihat bagaimana penyelidikan dan inovasi sedang diterjemahkan kepada impak nyata dalam bidang penting seperti sains dan kelestarian.
Menerajui penemuan saintifik dengan kuasa AI
AI kini mempercepatkan penemuan saintifik di seluruh Asia Tenggara. AlphaFold, teknologi AI yang dibangunkan oleh Google DeepMind, telah menjadi alat penting bagi lebih 85,000 penyelidik di rantau ini, membolehkan mereka memodelkan struktur protein 3D yang kompleks dengan ketepatan yang belum pernah dicapai sebelum ini.
Sejak kebelakangan ini, AlphaFold telah membantu mempercepat penemuan dalam pelbagai bidang penyelidikan biologi. Di Malaysia, para penyelidik menggunakan teknologi ini untuk mempercepat usaha mencari rawatan dan vaksin berkesan bagi melioidosis, sejenis penyakit berjangkit yang berbahaya.
Dr. Lam Su Datt, Pensyarah Kanan dan Penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata: “Burkholderia pseudomallei ialah bakteria yang hampir mustahil dimusnahkan dan mampu bertahan dalam persekitaran ekstrem selama bertahun-tahun. Walaupun telah dikaji selama beberapa dekad, masih belum ada vaksin atau penawarnya. Dengan AlphaFold, kami akhirnya dapat melihat struktur proteinnya dan meneroka cara untuk melemahkan pertahanannya – satu langkah lebih dekat ke arah pembangunan rawatan yang berkesan.”
Di Singapura, para penyelidik menggunakan teknologi yang sama untuk mengesan tanda-tanda awal penyakit Parkinson, sekali gus membuka jalan ke arah solusi kesihatan yang lebih proaktif dan peribadi.
Memperkukuh kelestarian dan daya tahan

Di lapangan, AI membantu melonjak kelestarian dan daya tahan iklim di seluruh rantau ini. Pasukan AnthroKrishi di Google DeepMind kini memperluas penggunaan API Pertanian mereka ke lebih banyak negara termasuk Malaysia, Vietnam dan Indonesia. Model ini dapat menyediakan maklumat pertanian masa nyata seperti jenis tanaman, saiz ladang, jarak ke sumber air serta tarikh penanaman atau penuaian terakhir bagi menyokong kelestarian pertanian di Asia Tenggara dalam menghadapi perubahan iklim.
Bagi mempercepat peralihan kepada tenaga bersih, cabang filantropi Google, iaitu Google.org, turut menyalurkan pembiayaan berjumlah AS$1.5 juta kepada organisasi bukan untung analitik iklim, TransitionZero. Dana ini bertujuan membangunkan alat berasaskan AI yang dapat menjadikan perancangan tenaga bersih lebih menjimatkan dan mudah diakses, sekali gus mempercepat peralihan global ke arah tenaga bersih. Bermula dengan kerjasama di beberapa negara termasuk Malaysia dan Singapura, alat ini akan membantu kerajaan serta organisasi membuat keputusan dan pelaburan tenaga yang lebih bijak serta pantas.
Melengkapkan rakyat di seluruh rantau dengan kemahiran dan keselamatan AI

Membina asas kukuh dalam literasi AI merupakan salah satu keutamaan utama. Sokongan Google.org terhadap pelancaran inisiatif AI Ready ASEAN oleh ASEAN Foundation menjadi tonggak kepada komitmen ini.
Sejak dilancarkan pada Oktober 2024, program serantau ini telah membekalkan lebih 800,000 belia, pendidik dan ibu bapa dengan kemahiran literasi AI yang penting. Platform dalam talian baharu inisiatif ini, AI Class ASEAN, yang dilancarkan dua bulan lalu, kini telah dimanfaatkan oleh lebih 14,000 pengguna memperluas lagi akses kepada latihan penting secara kendiri.
Bagi memastikan penglibatan digital yang bertanggungjawab, Google.org turut memperuntukkan AS$5 juta untuk mempromosikan kesejahteraan digital dalam kalangan belia di seluruh Asia Tenggara. Program ini akan menyokong rakan-rakan bukan untung terkemuka dalam menyediakan sumber kepada ibu bapa, pendidik dan remaja bagi memupuk hubungan yang positif dan sihat dengan teknologi.
Google turut menyediakan sokongan khusus untuk bilik darjah dan golongan pendidik. Menerusi Gemini Academy, Google telah melatih hampir 31,000 pendidik di Malaysia sejak program perintisnya pada akhir tahun 2023. Kajian impak Google mendapati 75% daripada pendidik yang terlibat menjadi lebih produktif selepas mengintegrasikan alat AI dalam pengajaran mereka, dengan purata penjimatan masa sebanyak 3.1 jam seminggu untuk pemarkahan, 2.8 jam untuk pembangunan idea kreatif, dan 1.9 jam untuk perancangan serta penyediaan kandungan pelajaran.
Komitmen Google memanfaatkan AI untuk kemajuan penyelidikan
Farhan S. Qureshi, Pengarah Google Malaysia berkata, Malaysia sentiasa merupakan hab kreativiti dan inovasi, dan semangat yang sama kini mendorong transformasi AI negara ini. Daripada para pendidik yang memperkasa bilik darjah mereka melalui Gemini Academy hinggalah kepada penyelidik di UKM yang menggunakan AlphaFold untuk memajukan bidang kesihatan, rakyat Malaysia membuktikan bagaimana AI mampu mencipta kemajuan yang bermakna. Google kekal komited untuk membantu negara dan rantau ini memanfaatkan AI secara bertanggungjawab demi pertumbuhan ekonomi dan manfaat sosial.
Google terus bekerjasama rapat dengan kerajaan, perniagaan dan komuniti di seluruh ASEAN untuk membina ekosistem AI yang inovatif, inklusif dan bertanggungjawab, sambil memastikan AI menjadi pemacu kemajuan yang mampan dan memberi manfaat kepada semua.













