U Mobile, secara rasmi telah mengumumkan pelantikan Tunku Tun Aminah sebagai Pengerusi baharu syarikat tersebut berkuat kuasa pada 13 Mac 2026.

Pelantikan kepimpinan baharu ini dibuat susulan peletakan jawatan Vincent Tan Chee Yioun yang mengundur diri pada 12 Mac 2026. Beliau kini akan menggalas tanggungjawab baharu sebagai Pengasas dan Penasihat kepada Lembaga Pengarah untuk terus memberikan panduan strategik kepada syarikat.

Selain itu, pemilikan domestik di dalam U Mobile juga telah meningkat berikutan selesainya Perjanjian Pembelian Saham antara Singapore Technologies Telemedia Pte Ltd (STT) dan Mawar Setia Sdn. Bhd.

Mawar Setia Sdn. Bhd., sebuah syarikat pegangan pelaburan Malaysia yang diasaskan bersama oleh Vincent Tan dan Tunku Tun Aminah, kini memegang lebih 50 peratus kepentingan dalam U Mobile.

Peningkatan pemilikan tempatan ini dijangka menyokong strategi pelaburan jangka panjang syarikat, memandangkan U Mobile menyasarkan untuk menyediakan infrastruktur digital yang boleh diharap bagi merealisasikan rangkaian 5G kedua Malaysia. U Mobile pada ketika ini turut dilaporkan mendahului jadual pelaksanaan mereka.

Tinggalkan komentar