Warganegara Malaysia yang layak terkesan dengan masalah teknikal di stesen minyak sehingga terpaksa membayar harga RON95 tanpa subsidi kini boleh membuat tuntutan bayaran balik mulai 9 Oktober ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh mengesahkan bahawa proses tuntutan ini dibuka bagi membolehkan pengguna mendapatkan semula perbezaan bayaran yang telah dibuat.

Permohonan bayaran balik boleh dibuat oleh syarikat dan individu bagi pembelian petrol tanpa subsidi yang berlaku antara 30 September hingga 31 Oktober.

“Terdapat beberapa aduan seperti gangguan sistem, tetapi ia berjaya diatasi dengan segera. Walau bagaimanapun, jika ada pemandu yang terpaksa membayar harga RON95 tanpa subsidi akibat daripada masalah ini, mereka boleh memfailkan tuntutan,” katanya.

Tuntutan perlu dibuat melalui portal rasmi di https://mysubsidi.kpdn.gov.my dengan disokong bukti pembelian seperti salinan resit RON95. Setelah disahkan dan diluluskan oleh kementerian, bayaran balik akan dikreditkan ke akaun bank pemohon dalam tempoh 15 hari bekerja.

Fuziah memaklumkan pendaftaran untuk petrol bersubsidi di bawah Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dalam kalangan syarikat masih kurang memberangsangkan, dengan hanya 25 peratus syarikat yang layak telah mendaftar setakat ini. Syarikat yang layak perlu berdaftar dengan SKPS dan mengemukakan bukti permohonan kad fleet pada atau sebelum 31 Oktober.

Beliau menggesa kumpulan berkaitan seperti persatuan teksi untuk segera mendaftar bagi menikmati subsidi petrol. Pendaftaran lewat masih boleh menuntut subsidi bertarikh mulai 1 Oktober selagi resit pembelian dikemukakan.

Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi pusat panggilan SKPS di talian 03-8882 5893 / 5894 / 5923 / 6667 atau melalui e-mel di bayaranbalikmysubsidi@kpdn.gov.my.

Tinggalkan komentar