Lanjutan dari pengumuman yang telah dibuat di Ipoh pada minggu lepas, TM hari ini telah melancarkan pakej perkhidmatan Unifi Air.
Pakej perkhidmatan internet nirwayar ini ditawarkan pada kadar RM79 sebulan, khusus untuk pelanggan-pelanggan Streamyx sedia ada. Tanpa sebarang had kuota yang dikenakan, perkhidmatan ini dikatakan mampu menyediakan capaian internet berkelajuan sehingga 20Mbps.
Sebuah router Huawei B618 turut disediakan khusus untuk pelanggan-pelanggan yang mengambil pakej perkhidmatan ini bersama-sama kontrak selama 24 bulan.
Buat masa ini, pelaksanaan Unifi Air diutamakan kepada pelanggan-pelanggan Streamyx sedia ada terlebih dahulu. Menurut kenyataan dari pihak TM, seramai 35,000 pelanggan Streamyx telah dikenalpasti berada di dalam kawasan liputan rangkaian TDD-LTE untuk membolehkan pelaksanaan secara berperingkat ini dimulakan.
Pakej pelan perkhidmatan ini turut akan dibuka kepada pengguna-pengguna baru pada tarikh yang masih lagi belum diumumkan. Bagaimanapun, harga yang ditawarkan kepada pengguna baru adalah berbeza, iaitu pada RM129 sebulan.
Sumber berita diperoleh dari Utusan Malaysia













