Baru-baru terdapat sebuah laporan yang mendakwa TM telah membuat rayuan kepada pihak kerajaan bagi menangguhkan pelaksanaan Mandatory Standard on Access Pricing (MSAP). Seterusnya membantutkan hasrat rakyat Malaysia yang inginkan akses internet jalur lebar yang lebih berpatutan.
Bagaimanapun, ini bukanlah kali pertama TM merayu menangguhkan pelaksanaan MSAP. Pelaksanaan piawaian mandatori berkenaan sepatutnya telah ditetapkan bermula 1 Januari 2018, namun telah ditangguhkan atas rayuan yang dibuat oleh pihak TM.
Menurut laporan berkenaan, pihak TM sekali lagi mengemukakan rayuan atas justifikasi pelaksanaan MSAP mampu menjejaskan pendapatan keseluruhan gergasi telekomunikasi Malaysia tersebut.
Dalam sidang media yang diadakan beberapa bulan yang lepas, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo telah mengumumkan harga perkhidmatan internet jalur lebar bakal dikurangkan sehingga 25 peratus menjelang penghujung tahun 2018. Matlamat utama pihak kementerian adalah bagi memastikan akses internet dapat dicapai oleh rakyat Malaysia adalah pada kelajuan dua kali ganda dengan separuh harga.
Sungguhpun TM telah melancarkan pakej yang lebih bajet, seperti Unifi Basic (khusus untuk golongan berpendapatan bawah RM4,500 dan kuota 60GB sebulan) berserta pakej naik taraf kelajuan Unifi Turbo dan Streamyx, pengguna secara amnya masih lagi mahukan pihak TM merendahkan harga perkhidmatan yang ditawarkan.
Bagaimana pula dengan pendapat anda? Adakah anda merasakan segala langkah penambahbaikan yang ditawarkan oleh pihak TM ini sudah memadai atau masih lagi perlu diperhalusi? Nyatakan pendapat anda melalui ruangan komentar di bawah.
Sumber berita dan imej diperoleh dari The Malaysian Reserve













