Bagi anda yang telah menggunakan internet sejak awal dekad 2000-an, anda mungkin pernah mendengar perkhidmatan internet “berkelajuan tinggi” dari Streamyx. Selepas diperkenalkan hampir 22 tahun, TM akhirnya telah menamatkan perkhidmatan internet jalur lebar tersebut.
Perkara ini telah diketemukan oleh pengguna Unifi Community, Kasmaini yang mendapati perkhidmatan tersebut tidak lagi disenaraikan di dalam laman web rasminya.
Salah seorang pentadbir forum berkenaan, ‘remstr’, telah mengesahkan bahawa perkhidmatan yang juga dikenali sebagai Unifi Lite ini tidak lagi ditawarkan.
Pengguna Unifi Lite sedia ada bagaimanapun masih lagi boleh menggunakan perkhidmatan tersebut selagi tiada perkhidmatan fiber ditawarkan di kawasan masing-masing.
Perkhidmatan DSL pertama kali dilancarkan pada tahun 2001 dengan kelajuan yang ditawarkan bermula dari 384kbps hinggalah ke 2Mbps.
2001: Broadband made its way the world over and we had to catch up 💪✨ This was when our baby Streamyx was born! #MemoryLaneMonday pic.twitter.com/rzJVUmYAlK
— Yunni (@unifi) September 25, 2017
Sungguhpun kelajuan tersebut dikirakan sebagai perlahan jika dibandingkan dengan kelajuan internet masa kini, penawaran tersebut dianggap sebagai satu kemajuan yang besar berbanding kelajuan perkhidmatan dial-up TMNet iaitu pada 56kbps sahaja pada ketika itu.
Pada tahun 2019, perkhidmatan Streamyx diselaraskan kepada satu pilihan kelajuan sahaja iaitu pada 8Mbps untuk muat turun dan 512kbps untuk memuat naik dengan harganya di antara RM69 hingga RM89 sebulan. Turut diperkenalkan pelan Broadband Lite yang menawarkan kelajuan muat turun 1Mbps dan muat naik 384kbps pada harga RM38 sebulan.













