Sebelum telah dilaporkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan terhadap Telegram termasuk menyekat platform terbabit.
Ini berikutan tindakan platform tersebut yang enggan bertemu dengan pihak suruhanjaya dan juga Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bagi membincangkan isu berkaitan penyebaran kandungan pornografi, mesej palsu, kumpulan pembenci dan juga lain-lain.
Dijangkakan isu berkenaan akan menemui jalan penyelesaian apabila pihak Telegram bersetuju untuk mengadakan pertemuan dengan SKMM dan KKD. Menurut laporan oleh Malaysiakini, pertemuan tersebut telah disahkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil ketika ditanya oleh pemberita.
Mac lalu, Fahmi Fadzil telah mengumumkan pihak kementeriannya meminta pihak Telegram mengambil tindakan terhadap isu melibatkan penipuan dan keselamatan pengguna umum di platform terbabit. Sejak itu, KKD turut mengadakan perbincangan dengan pengendali platform sosial media lain seperti Meta dan TikTok berhubung perkara yang sama.
Bagaimanapun, Telegram telah menolak untuk bekerjasama dengan KKD dan SKMM kerana mendakwa tidak mahu terlibat di dalam sebarang “sekatan berbentuk politik”. Menurut jurucakap Telegram, pihaknya telah pun memantau kandungan-kandungan merbahaya termasuk isu yang dibangkitkan oleh kementerian sejak sekian lama.
Pertemuan yang dijadualkan berlangsung esok bagaimanapun diharapkan mampu membawa persetujuan bersama demi kebaikan bersama semua pihak yang terlibat.













