Hujung tahun lalu, TNG Digital Sdn Bhd dengan kerjasama CIMB Bank Sdn Bhd telah memperkenalkan GOpinjam, pinjaman peribadi jangka pendek menerusi aplikasi TNG eWallet.
Sungguhpun menawarkan kadar faedah yang tinggi, perkhidmatan tersebut bagaimanapun didapati amat popular di kalangan rakyat Malaysia terutamanya yang sedang kesempitan wang.
Menurut Kementerian Kewangan, seramai 88,620 individu telah mengambil pinjaman GOpinjam sehingga akhir Mac 2023 dengan jumlah sebanyak RM91.1 juta. Pinjaman jangka pendek ini amat popular di kalangan kelompok belia.
Belia berusia di bawah 30 tahun merupakan kelompok paling ramai dengan mencatatkan 55% dari jumlah keseluruhan peminjam GOpinjam. Secara purata, kelompok dari kategori umur ini meminjam sekitar RM1,500 bagi setiap individu.
Kementerian Kewangan mendedahkan perkara ini dalam jawapan balas untuk pertanyaan dari Ahli Parlimen Batang Sadong YB Rodiyah Sapiee di Parlimen. Beliau sebelum ini menanyakan berkenaan jumlah peminjam dan purata pinjaman yang diluluskan untuk orang ramai terutamanya para belia yang membuat pinjaman peribadi terus dari institusi bukan kewangan.
Di dalam jawapan, Kementerian Kewangan meminta kesemua institusi kewangan supaya mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Ia bertujuan untuk memberikan layanan yang adil kepada pelanggan dan juga melindungi dari bebanan hutang dan kewangan yang melampau.