Pek ekspansi kedua Starcraft II akan hadir secara rasminya pada 10 November ini.  Blizzard, penerbit judul permainan komputer yang popular ini memaklumkan baru-baru ini bersempena pusingan akhir World Championship Series Battle Net musim ketiga secara langsung di Twitch.

Turut dimainkan treler sinematik pek ekspansi Starcraft II untuk menambah keterujaan peminat selepas mendapat pengumuman tarikh pelancaran tersebut.

Starcraft II julung kali hadir dengan sub judul Wings of Liberty dilancarkan 5 tahun lalu pada Julai 2010. Pek ekspansi kedua yang bertemakan Zerg menggunakan sub judul Heart of the Swarm hadir pada bulan Mac 2013.

Bagi pek ekspansi kedua ini pula, ia menggunakan sub judul Legacy of the Void yang memberikan fokus terhadap kaum Protoss. Untuk pek ini, Starcraft II menawarkan kempen permainan perseorangan yang berkisarkan kisah tentang seorang High Templar yang bernama Artanis.

Permainan strategi masa nyata keluaran Blizzard ini merupakan di antara yang popular yang dihasilkan oleh penerbit permainan komputer ini selain dari judul Warcraft dan Diablo.

Starcraft II pernah memecahkan rekod jualan sebagai permainan masa nyata yang paling cepat laku. Sebanyak 1.5 juta salinan telah terjual sepanjang 48 jam pertama sebaik ianya dilancarkan pada tahun 2010 lalu.

Terdahulu, judul asal Starcraft yang dilancarkan pada tahun 1998 dahulu mampu meraih jualan sehingga 11 juta salinan sehinggalah kemunculan StarCraft II: Wings of Liberty 12 tahun kemudian.

Sumber berita diperoleh dari Battle Net World Championship Series

Tinggalkan komentar