Trend peranti boleh lipat berbentuk cengkerang (clamshell) dilihat menghala ke arah skrin luaran (cover screen) yang lebih besar sepanjang tahun ini. Antara peranti yang dimaksudkan termasuklah OPPO Find N2 Flip, vivo X Flip dan Motorola Razr 40 Ultra.
Kini, Samsung Galaxy Z Flip 5 pula dijangka mengikuti trend ini dan mungkin mengoptimasikan beberapa aplikasi supaya boleh digunakan dengan lebih baik pada skrin luaran yang lebih besar.
Menurut Sammobile, Galaxy Z Flip 5 kelak mampu menjalankan aplikasi Samsung dan Google yang dioptimasikan pada skrin cover 3.4-inci.
Aplikasi seperti Google Maps misalnya boleh digunakan terus bagi memudahkan pengguna mencari jalan tanpa perlu membuka telefon pintar berkenaan.
Ia juga dikatakan akan mempunyai antaramuka yang unik. Cuma tidak dapat dipastikan sama ada ia melibatkan pada pengoptimasian atau pengubahsuaian sepenuhnya pada antaramuka (UI).
Selain Google Maps, sumber berkenaan juga menyebut aplikasi Samsung Keyboard, YouTube, Messages dan juga kebanyakan aplikasi Samsung lain turut dioptimasikan.
Memandangkan Android 14 dijangka akan dilancarkan di dalam bulan ini, berkemungkinan besar ciri sistem operasi Android baharu akan diintegrasikan ke dalam paparan luaran.
Secara keseluruhannya, Samsung dilihat sedang mengusahakan kaedah baharu untuk penggunaan skrin luaran Galaxy Z Flip 5 yang lebih mudah kepada pengguna. Sejauh mana penerimaannya pada penggunanya kelak, nantikan pelancarannya yang dijangkakan berlangsung pada hujung Julai nanti.













