Sepasukan jurutera di Amerika Syarikat telah berjaya melakukan transmisi Wi-fi yang menggunakan kuasa 10,000 kali ganda lebih jimat dari isyarat sedia ada. Sistem terbaru yang dikenali sebagai Passive Wi-fi ini telah dihasilkan oleh pasukan pakar dari University of Washington. Ia juga dikhabarkan boleh disesuaikan dengan telefon pintar dan router masa kini.
Pasukan berkenaan mampu mencatatkan kelajuan muat turun sehingga 11 Megabit per saat (Mbps) melalui sistem ini. Sungguhpun kelajuan yang dicatatkan ini menyamai kelajuan muat turun LTE hari ini, pihak pasukan menyatakan bahawa mereka sedang berusaha mempertingkatkan lagi kelajuan tersebut.
Menurut Shyam Gollakota, Pembantu Profesor Fakulti Sains Komputer yang terlibat di dalam projek ini memaklumkan bahawa pihaknya sedang mengusahakan transmisi Wi-fi tanpa melibatkan sebarang penggunaaan kuasa langsung.
Pencapaian teknologi ini tentunya dapat dimanfaatkan oleh telefon pintar dan tablet hari ini yang mempunyai sumber tenaga yang terhad untuk mendapatkan sambungan Wi-fi untuk satu jangka tempoh yang lama.
University of Washington turut merasakan teknologi ini bakal membuka jalan ke arah cara komunikasi baru memandangkan teknologi sedia ada hari ini masih lagi terkongkong dengan sumber tenaga yang terhad.
Teknologi Passive Wi-fi ini telah dinamakan sebagai 10 penemuan ulung teknologi tahun 2016 oleh MIT Technology Review. Walaubagaimanapun, penerbitan sains Science Alert menyatakan penemuan ini masih belum dibuat ulasan semula setara (peer review). Namun, tentunya kita berharap agar penemuan berkenaan benar-benar dapat dibuktikan keberkesanannya.
Sumber berita diperoleh dari Science Alert














wahh, memang terbaik laa
wow