POCO secara rasmi telah memperkenalkan penambahan baharu kepada siri M kelas pertengahan mereka. Model yang dimaksudkan adalah POCO M8 dan POCO M8 Pro untuk pasaran tempatan.

Telefon pintar ini menawarkan ciri hiburan yang diinspirasikan daripada peranti mercu (flagship). Dalam pada masa yang sama, ia juga memfokuskan kepada aspek mudah alih dan ketahanan lasak.

Model standard POCO M8 hadir dengan paparan AMOLED 6.77 inci yang menyokong kadar segar semula 120Hz serta resolusi 2,392 x 1,080 piksel dengan kecerahan puncak mencapai 3,200 nits.

Dikuasakan oleh cip pemprosesan Snapdragon 6 Gen 3, telefon pintar ini dipadankan dengan memori 8GB RAM dan pilihan storan antara 256GB atau 512GB. Ia juga boleh dikembangkan sehingga 1TB melalui kad microSD.

Baterinya berkapasiti 5,520mAh yang menyokong pengecasan pantas 45W serta pengecasan berbalik 18W.

Untuk fotografi, ia menggunakan kamera utama 50MP yang dipadankan dengan sensor kedalaman 2MP. Manakala kamera swafotonya adalah 20MP. Peranti ini juga mempunyai penarafan IP66 untuk ketahanan debu dan air.

Bagi varian Pro yang lebih premium, ia menampilkan skrin AMOLED yang sedikit besar iaitu 6.83 inci dengan resolusi 2,772 x 1,280 serta kadar segar semula 120Hz.

Model ini dikuasakan oleh cip Snapdragon 7s Gen 4 dan ditawarkan dalam dua konfigurasi memori iaitu 8GB+256GB dan 12GB+512GB.

Satu ciri unik bagi model ini adalah Sistem Penyejukan POCO IceLoop. Ciri ini merupakan kali pertama diperkenalkan dalam barisan siri M.

Kapasiti bateri bagi model Pro ini juga lebih besar iaitu 6,500mAh dengan pengecasan pantas 100W dan pengecasan berbalik 22.5W. Ia juga mempunyai ketahanan yang luar biasa dengan pelbagai penarafan termasuk IP66, IP68, IP69, dan IP69K.

Sistem kameranya pula terdiri daripada lensa utama 50MP dan lensa ultra-lebar 8MP, serta kamera hadapan 32MP.

Kedua-dua peranti menjalankan sistem operasi Xiaomi HyperOS 2 berasaskan Android 15 dan menyokong sambungan 5G, NFC, serta pengimbas cap jari dalam skrin.

Harga dan Ketersediaan

Siri POCO M8 ini hadir dalam tiga pilihan warna iaitu Perak (Silver), Hitam (Black), dan Hijau (Green). Pembelian sebelum 18 Januari 2026 berpeluang untuk menerima harga promosi dari serendah RM859.

Model Konfigurasi Harga Runcit Harga Promosi
POCO M8 256GB RM999 RM859
512GB RM1,199 RM959
POCO M8 Pro 8GB+256GB RM1,199 RM1,099
12GB+512GB RM1,499 RM1,299

Anda boleh mendapatkan peranti ini melalui kedai dalam talian Mi serta kedai rasmi Xiaomi di platform e-dagang Shopee, Lazada, dan TikTok Shop.

Tinggalkan komentar