Samsung telah mengumumkan Galaxy Z Flip 5 Retro, sebuah telefon pintar boleh lipat edisi terhad baharunya. Secara asasnya, ia merupakan Galaxy Z Flip 5 yang menerima rekaan khas edisi terhad.
Ia diilhamkan dari telefon pintar boleh lipat lama keluarannya E700, 20 tahun dahulu. Pada waktu itu, skrin luaran telefon pintar berkenaan merupakan paling besar di pasaran ketika ia dilancarkan.

Meminjam dari ciri-ciri unik Samsung E700, Galaxy Z Flip 5 Retro juga mempunyai warna bingkai dan engsel yang sama – biru dan perak.
Skrin luarannya pula menampilkan animasi suasana kota raya dengan grafik berpiksel seperti era 2000-an. Teks pada skrin luaran ini juga berwarna cyan dengan jam untuk ‘always-on display’ AOD) juga menampilkan warna yang sama.
Seperti kebanyakan keluaran edisi terhad Samsung yang lain, Galaxy Z Flip 5 Retro didatangkan dengan bersama-sama pelbagai cenderahati menarik. Antaranya bekas Flipsuit, kad, dan juga pelekat yang menampilkan logo-logo Samsung versi retro.
Menurut Samsung, telefon pintar edisi terhad ini hanya ditawarkan di pasaran seperti, Korea Selatan, United Kingdom, Perancis, Jerman, Sepanyol dan Australia.
Tiada harga dinyatakan untuk Samsung Galaxy Z Flip 5 Retro yang dijual secara eksklusif di laman web rasmi Samsung.













