Sementara kita menantikan kehadiran siri Galaxy S23, Samsung telah mengumumkan Galaxy A14 5G yang berkesinambungan dari telefon pintar 5G bajet keluaran tahun lepas.

Dari segi spesifikasi, tidak banyak beza di antara model lama dengan model keluaran baharu ini dan berkemungkinan harga yang ditawarkannya juga tidak akan naik mendadak.

Perubahan besar yang akan dibawakannya kelak pastinya pada skrin yang mana resolusinya telah dinaikkan dari 720p kepada Full HD. Selain dari skrin LCD yang lebih besar pada ukuran 6.6-inci, Galaxy A14 5G masih lagi mengekalkan kadar penyegaran semula 90Hz.

Dari segi rekaan luaran pula, bucu membulatnya telah digantikan dengan bucu yang lebih merata selain turut menawarkan permukaan belakang yang bertekstur.samsung-galaxy-a14-5g-hitam

Samsung Galaxy A14 5G juga menggunakan pemprosesan yang sama iaitu MediaTek Dimensity 700 bersama-sama RAM 4GB dan pilihan storan 64GB atau 128GB. Turut disediakan slot kad mikroSD yang menyokong sehingga 1TB.

Begitu juga dengan modul-modul kamera belakangnya yang masih lagi sama mengandungi satu kamera utama 50MP, makro 2MP, dan berkedalaman 2MP. Bagaimanapun untuk bahagian hadapannya telah dinaikkan taraf kameranya kepada 13MP. Tiada kamera ultra-lebar seperti yang terdapat pada Galaxy A13 4G disediakan bagi model ini.

Baterinya juga kekal pada kapasiti 5,000mAh dan ia dikirakan memadai untuk telefon pintar peringkat pemula sepertinya. Untuk ketersambungan pula, ia menyokong 5G, NFC, Bluetooth 5.2 dan bicu audio 3.5mm.

Samsung Galaxy A14 5G akan didatangkan dengan Android 13 dan Samsung berjanji akan menyediakan naik taraf Android untuk dua tahun dan empat tahun untuk kemaskini keselamatan.samsung-galaxy-a14-5g-pilihan warna

Gergasi elektronik dari Korea Selatan ini bagaimanapun masih belum menyatakan harga dan ketersediaan telefon pintar ini ke pasaran Malaysia. Hanya ketersediaannya ke pasaran Sepanyol sahaja yang diumukan setakat ini. Pun begitu, semakan menerusi pangkalan data SIRIM mendapati Galaxy A14 5G telah melepasi persijilannya pada 9 Disember tahun lalu.

Tinggalkan komentar