Samsung telah mengumumkan Exynos 2200, pemprosesan mudah alih untuk telefon pintar keluarannya sendiri. Ia merupakan cipset mudah alih pertama yang menyertakan sebuah GPU dengan senibina grafik AMD RDNA 2, membolehkan ia mempunyai fungsi seperti ‘ray tracing’.
Usahasama dengan AMD ini sudah pun dijalinkan sejak sekian lama. Kedua-dua syarikat sebelum ini pernah mengumumkan perjanjian perlesenan pada 2019.
AMD juga pada tahun lepas telah mengesahkan cipset mudah alih mercu Samsung keluaran yang akan datang menggunakan RDNA. Manakala Samsung pula baru-baru ini telah memberi bayangan untuk mengadakan acara pengumuman Exynos 2200 pada 11 Januari ini. Walaubagaimanapun, ia ditangguhkan atas sebab yang tidak diketahui.
Exynos 2200 dihasilkan melalui proses pembuatan Samsung EUV 4nm dan untuk GPUnya, ia dijenamakan GPU sebagai “Xclipse.” Menurut Naib Presiden Kanan Teknologi GPU Radeon AMD, David Wang ini merupakan keluaran sulung dari siri-siri grafik AMD RDNA di dalam Exynos generasi yang akan datang kelak.
Dari segi spesifikasinya, Exynos 2200 menggunakan teras Armv9 yang mengandungi satu teras mercu Cortex-X2 berprestasi tinggi, tigas teras berprestasi seimbang Cortex-A710, dan empat teras berkecekapan tenaga tinggi, Cortex-A510.
Terdapat juga peningkatan terhadap NPU pada pemprosesan ini yang menurut Samsung, menjanjikan peningkatan dua kali ganda dari keluaran sebelumnya. Untuk senibina ISP pula, ia direka bagi menyokong sensor kamera sehingga 200MP.
Cipset mercu tertinggi Samsung pada kebiasaannya hadir melalui telefon-telefon mercu keluarannya, Galaxy S. Pun begitu, terdapat sesetengah model di beberapa negara yang tidak menggunakan Exynos, dan sebaliknya menggunakan Qualcomm Snapdragon.
Sejauh mana prestasi grafik Exynos 2200 melalui senibina GPU AMD RDNA 2 dapat diterjemahkan pada peranti mudah alih nanti? Sama-sama kita menanti kehadirannya pada Galaxy S22 yang dijangka dilancarkan pada awal Februari nanti.













