Bulan lalu, pentiris maklumat yang sering menjadi tempat rujukan Ice Universe menyatakan Samsung mungkin akan mengumumkan kehadiran Galaxy S23 secara rasminya pada 1 Februari 2023.
Awal hari ini, Samsung Colombia telah memaparkan tarikh tersebut pada laman web rasminya yang menunjukkan tarikh acara Galaxy Unpacked yang dijangka akan memperkenalkan siri Galaxy S23.
Halaman tersebut yang kini telah pun dialih keluar, memungkinkan Samsung Colombia terlalu awal menunjukkan tarikh acara Unpacked tersebut. Bagaimanapun, kami tidak menolak kemungkinan pihak Samsung akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung acara tersebut.
Sungguhpun Samsung tidak menyatakan secara jelas mengenai Galaxy S23 di dalam laman web tersebut, namun gambar yang dikongsikan kelihatan seperti telefon pintar mercu keluaran 2023 berkenaan akan diperkenalkan di dalam acara pada 1 Februari ini nanti.
Galaxy S23 dijangka akan hadir dengan tiga model iaitu Galaxy S23, Galaxy S23+, dan Galaxy S23 Ultra. Samsung tidak menyatakan apa-apa mengenai model-model tersebut setakat ini. Namun ini semua berdasarkan maklumat-maklumat awal yang telah tertiris di arena web di seluruh dunia.













