Kuala Lumpur, 12 Disember 2022 – Samsung Malaysia Electronics dengan anjuran bersama Pusat STEM UM berbesar hati mengumumkan pemenang bagi pertandingan Solve for Tomorrow 2022 yang telah melabuhkan tirainya pada 3 Disember 2022. Pusingan akhir telah berlangsung di Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya di mana para peserta telah membentangkan idea kreatif .mengikut isu-isu yang terdapat dalam masyarakat.
Keputusan akhir telah menobatkan Dzalis Smart Ino dari SMK Dato’ Razali Ismail sebagai juara yang membawa pulang produk Samsung bernilai RM30,000 menerusi idea dan penyelesaian kreatif dalam menangani salah satu isu utama di Malaysia iaitu Kesihatan & Kesejahteraan Hidup.
Pasukan Tropbotz dari SMK Tropicana telah mendapat tempat kedua dan membawa pulang produk Samsung bernilai RM25,000 manakala Pasukan NewGen Leaders dari SMK Seri Bintang Utara menduduki tempat ketiga dan membawa pulang produk Samsung bernilai RM20,000. Pasukan Fishballz dari SMK Taman Desa dan Pasukan The Green Scientists dari SMK(L) Methodist Sentul masing-masing telah menerima hadiah saguhati produk Samsung bernilai RM6,600.
“STEM memiliki kredibiliti tinggi untuk kekal relevan pada masa akan datang. Matlamat kami untuk mengembangkan kemahiran STEM melalui Solve for Tomorrow dapat dicapai agar pelajar dapat menerapkannya sebagai kerjaya suatu hari kelak. Kami juga tertarik dengan konsep dan penyelesaian yang diberikan oleh para pelajar yang semakin berinovatif setiap tahun. Tahniah diucapkan atas kejayaan mereka. Pelajar-pelajar ini adalah masa depan yang pastinya mempunyai daya pemikiran untuk melakukan perubahan kepada masyarakat dan negara,” ujar Dato’ Roh Jae Yeol, Pengarah Hal Ehwal Korporat, Samsung Malaysia Electronics.
“Kami berasa sangat bertuah kerana dapat menyaksikan kehebatan para pelajar menghasilkan prototaip yang membantu menangani masalah yang dihadapi masyarakat. Para pelajar berpotensi tinggi untuk melakukan perubahan kepada masyarakat dan niat murni ini telah mengasah minda anak muda untuk mencipta penyelesaian yang lebih berkesan. Para juri sememangnya menghadapi kesukaran untuk menentukan pemenang,’’ ujar juri Ir. Dr Mas Sahidayana Mohktar, Pengarah Pusat STEM Universiti Malaya.
Lima peserta peringkat akhir telah berjaya membentangkan idea mereka di hadapan para juri dengan kesungguhan yang dipamerkan dalam mencari penyelesaian. Setiap pasukan juga telah membentangkan prototaip diikuti dengan sesi soal jawab ringkas disebalik idea mereka. Para pelajar juga berkongsi pandangan dan pengetahuan dengan para juri tentang isu yang dipilih seterusnya mengembangkan idea-idea bernas berlandaskan STEM.
Barisan juri terdiri daripada Ir. Dr. Mas Sahidayana Mohktar, Pengarah Pusat STEM Universiti Malaya, Profesor Dr. Noran Naqiah Mohd Hairi, Dekan Kluster Penyelidikan Kesihatan dan Kesejahteraan Hidup, Universiti Malaya and Profesor Dr. Sithi Vinayakam a/l Muniandy daripada Jabatan Fizik Universiti Malaya.
Barisan Idea Yang Berjaya: Pertandingan Samsung Solve for Tomorrow 2022
Pasukan Dzalis Smart Ino dari SMK Dato’ Razali Ismail berjaya mencipta termos berkuasa solar, FOODDECK untuk menyimpan makanan dalam persekitaran yang sesuai. Alat ini merupakan salah satu usaha untuk memastikan makanan bebas bakteria dan mencegah pembaziran.
Idea ini tercetus setelah melihat peniaga gerai makanan tidak dapat menyimpan makanan dengan cara yang bersih dan individu yang gemar memasak namun tidak mempunyai ruang yang cukup untuk menyimpan makanan yang belum habis dimakan.
Termos ini bukan sahaja direka untuk mengekalkan suhu makanan tetapi juga boleh menyimpan makanan dalam keadaan sejuk. Pasukan hebat ini dibarisi Jasqmin, Nur Aim Umairah dan Putera Ahmad Danish Zaquan di bawah bimbingan guru, Puan Che Norhamira bt. Che Mohd.
Pasukan Tropbotz dari SMK Tropicana telah berjaya memenangi tempat kedua apabila mencipta sangkar haiwan peliharaan pintar, IoT Pet Guardian yang direka untuk memantau, memberi makan dan menjaga kesejahteraan haiwan peliharaan. Sangkar ini digabungkan dengan IoT untuk memantau dan menerima maklumat suhu rumah haiwan peliharaan.
Sangkar tersebut akan diprogramkan dan bertindak seperti pemilik haiwan peliharaan untuk membuka pintu perangkap tandas pada masa yang ditetapkan, meletakkan makanan ke dalam mangkuk dan mengisi air ke dalam bekas. Pasukan ini terdiri daripada Chua Wei Ming, Tee Yi Zhe dan Muhammad Aqil di bawah bimbingan guru mereka, Puan Khor Puay Puay.
Kesihatan mental telah menjadi sebuah topik hangat yang sering dibincangkan. Pasukan NewGen Leaders dari SMK Seri Bintang Utara telah mengambil peluang ini sebaik mungkin untuk membuktikan mereka boleh membawakan penyelesaian kepada masyarakat.
Pasukan ini telah memenangi tempat ketiga apabila berjaya mencipta SimplySmile, sebuah aplikasi mudah alih yang menumpukan kesihatan mental yang dilengkapi dengan chatbot AI untuk mengenal pasti emosi dan biometrik – dipantau melalui Samsung Health. SimplySmile memainkan peranan agar anda sentiasa mempunyai teman di sisi walau di mana jua anda berada. Aplikasi ini menyuntik kata-kata positif sebagai langkah awal kepada pengguna untuk mengubah perasaan dan tingkah laku mereka daripada negatif menjadi positif! Pasukan ini terdiri daripada Chuah Yee Jia, Chuah Yee En dan Ahmad Jazeel di bawah bimbingan guru, Puan Lee Saw Im.
Pasukan Fishballz dari SMK Taman Desa telah membuktikan bahawa mereka mempunyai kebolehan untuk menghasilkan idea kreatif menerusi mencipta aplikasi mudah alih dengan bantuan kecerdasan buatan (AI) demi membantu pembelajaran para pelajar. Rata-rata pelajar menghadapi masalah ini akibat tidak dapat mengikuti pembelajaran di dalam kelas ketika wabak melanda negara pada tahun 2020.
Pelajar terpaksa menghadiri kelas atas talian yang menyukarkan mereka untuk memberi tumpuan ketika sesi pembelajaran disebabkan oleh gangguan sekeliling. Aplikasi ini membenarkan pelajar yang berada di mana sahaja untuk berkomunikasi dan menghantar hadiah antara satu sama lain yang diperoleh setelah menyiapkan kerja rumah secara maya. Idea kreatif ini dihasilkan oleh Chu Ting Ern, Chloe Yew Xiao Shuen dan Priscilla Chong Ai Ling di bawah bimbingan guru, Puan Nurul Huda bt. Che Hamzah.
Penggunaan sumber tenaga tidak boleh diperbaharui telah menjadi penyumbang utama kepada pemanasan global dan perubahan iklim. Isu ini menimbulkan pelbagai kebimbangan seperti kenaikan paras air laut, peningkatan kejadian cuaca ekstrem dan pencemaran alam sekitar disebabkan oleh pelepasan karbon.
Pasukan The Green Scientists from SMK (L) Methodist Sentul telah memenangi hadiah saguhati apabila berjaya menghasilkan struktur panel suria, Solar Flower yang direka bentuk untuk mengikut matahari. Sensor cahaya akan mengesan keamatan cahaya paling tinggi, yang membolehkan tenaga diubah secara efisien menjadi elektrik. Pasukan kreatif ini terdiri daripada Vassenthen, Viswa Visagan dan Alan Qing Zhen yang diketuai oleh guru mereka, Encik Juraidi b. Mat.
Untuk maklumat lanjut mengenai Solve for Tomorrow, sila layari www.samsung.com/my/solvefortomorrow/