Samsung pada hari ini telah mengumumkan Galaxy A56 5G, Galaxy A36 5G, dan Galaxy A26 5G sebagai barisan baharu untuk siri Galaxy A. Buat pertama kalinya, siri Galaxy A mengintegrasikan Galaxy AI (dinamakan sebagai Awesome Intelligence).
Ia membawakan ciri-ciri berkuasa AI bagi meningkatkan daya kreativiti. Disamping itu, ia juga menawarkan peningkatan pada ketahanan, keselamatan dan kepanjangan hayat untuk pengalaman peranti mudah alih yang lebih selamat dan terjamin.
Ketiga-tiga peranti ini memberikan pengguna manfaat ciri-ciri menarik seperti Circle to Search yang membolehkan pengguna membuat carian terus dariapda skrin, dan juga alat suntingan imej dipertingkatkan seperti Object Eraser. Selain itu, telefon-telefon pintar ini juga menyertakan peningkatan kamera berpacukan AI yang meningkatkan kualiti imej, prestasi ketika kurang pencayahaan dan juga rakaman video.
Samsung Galaxy A56 5G
Model paling tinggi di dalam siri baharu ini memperkenalkan beberapa naik taraf utama seperti sokongan pengecasan berwayar 45W. Ia merupakan model pertama di kalangan siri Galaxy A yang menawarkan sokongan ini.
Pemprosesan Samsung Exynos 1580 juga diperkenalkan buat pertama kalinya pada Galaxy A56 5G, menawarkan peningkatan prestasi sebanyak 37% berbanding model sebelumnya. Ia mempunyai CPU 2.9GHz, GPU berasaskan AMD dengan 2x WGP, dan NPU dengan 14.7 TOPS (Tera Operations Per Second). Untuk RAM pula, ia hanya ditawarkan dengan konfigurasi 8GB sahaja.
Paparannya ditampilkan dalam bentuk Super AMOLED 6.7-inci beresolusi Full HD+, kecerahan puncak 1,900 nits, dan perlindungan kaca Gorilla Glass Victus+. Rekaannya nipis berketebalan 7.4mm dan menampilkan modul kamera yang diperhalusi tanpa lensa yang tersembul.
Sistem kameranya masih lagi kekal sama yang terdiri daripada kamera utama 50MP f/1.8, kamera ultra lebar 12MP f/2.2 dan lensa makro 5MP f/2.4. Untuk kamera hadapan pula, ia mempunyai sensor 12MP f/2.2.
Ciri peningkatan dijana AI di dalamnya meningkatkan kualiti imej dengan ciri-ciri seperti peningkatan imej berdasarkan kesedaran konteks, dan prestasi imej yang lebih baik pada waktu malam. Samsung juga telah menggandakan kelajuan transisi zum di antara kamera utama dengan kamera ultra lebar.
Galaxy A56 5G menggunakan Android 15 melalui One UI 7.0, menawarkan rekaan antaramuka yang lebih segar dan lebih pilihan pengubahsuaian. Ia dilengkapkan dengan bateri 5,000mAh dengan sokongan Super Fast Charge 2.0 45W yang membolehkannya dicaskan sehingga 65% dalam tempoh 30 minit, dan sehingga penuh selama 68 minit.
Samsung Galaxy A36 5G
Galaxy A36 5G menampilkan pemprosesan Snapdragon 6 Gen 3, berbeza dengan model-model sebelumnya yang menggunakan Exynos atau Dimensity. Samsung telah memuatkan kebuk pengewapan yang lebih besar menyamai dengan apa yang terdapat pada Galaxy S24+ untuk pengurusan termal yang lebih baik.
Telefon pintar ini ditawarkan dengan pilihan konfigurasi RAM 6GB dan storan 128GB, dan juga RAM 8GB dan storan 256GB.
Ia mempunyai paparan Super AMOLED 6.7-inci beresolusi Full HD+ dan kecerahan puncak 1,900 nits, sama seperti Galaxy A56 5G. Bahagian hadapan dan panel belakangnya dilindungi oleh kaca Corning Gorilla Victus+ bersama-sama kerangka polikarbonat. Ia mengekalkan penarafan IP67 untuk kerintangan debu dan air.
Kamera belakangnya terdiri daripada kamera utama 50MP f/1.8 dengan OIS, kamera ultra lebar 8MP f/2.2 dan kamera makro 5MP f/2.4. Kamera hadapannya telah dinaiktaraf kepada sensor 12MP, manakala rakaman videonya untuk kamera hadapan dan belakang telah dinaiktaraf kepada HDR (10-bit sehingga 4K pada 30 fps).
Galaxy A36 mempunyai bateri 5,000mAh, dan juga menyokong pengecasan 45W. Pengecasannya untuk tempoh 30 minit mampu memenuhkan sehingga 66% dan untuk mengecas sehingga penuh, ia mengambil masa 68 minit. Ia dilancarkan dengan Android 15 melalui One UI 7 yang menyokong naik taraf OS sebanyak enam kali dan kemaskini keselamatan sehingga 6 tahun. Ciri-ciri Ai seperti Circle to Search, dan Object Eraser turut disediakan.
Samsung Galaxy A26 5G
Galaxy A26 5G mempunyai banyak persamaan dengan Galaxy A35 yang dilancarkan pada tahun lepas dengan harganya yang lebih murah. Ia dikuaskaan oleh pemprosesan Exynos 1380 dan di atas kertas, prestasi CPU padanya 8% lebih rendah berbanding Snapdragon 6 Gen 3 di dalam A36. Tiada kebuk pengewapan dipertingkatkan untuk tujuan pelepasan termal yang ditawarkan pada model ini.
Telefon pintar ini mempunyai konfigurasi asas RAM 6GB dan storan 128GB, dan sehingga RAM 8GB dan storan 256GB.
Tidak seperti A56 5G dan A36 5G, model ini menyediakan dulang kad mikroSD. Ia menggunakan Android 15 berasaskan One UI 7. Dari segi perisiannya, ia menyokong naik taraf OS sehingga enam kali dan enam tahun kemaskini keselamatan.
Paparannya juga sama dengan model yang lain iaitu OLED 6.7-inci beresolusi Full HD+. Cuma bezanya ia mempunyai takuk pada atasnya yang berbanding rekaan berpenebuk lubang pada model-model lain siri ini untuk menempatkan kamera hadapan 13MP. Kamera ini bagaimanapun tidak menyokong rakaman video HDR. Di belakangnya pula mempunyai kamera utama 50MP dengan OIS, kamera ultra lebar 8MP, dan kamera makro 2MP.
Samsung telah menyediakan penambahbaikan pada badan A26 dengan mengurangkan ketebalan dari 8.3 mm kepada 7.7 mm. Pun begitu, beratnya telah meningkat sedikit kepada 200g. Ia kini mempunyai penarafan IP67 untuk kerintangan debu dan air, sama seperti A36 dan A56. Baterinya sama 5,000mAh, namun pengecasannya terhad pada 25W sahaja.
Ketersediaan
Galaxy A56 5G boleh didapati di dalam pilihan warna Awesome Lightgray, Awesome Graphite, Awesome Olive, dan Awesome Pink. Untuk Galaxy A36 5G pula ia didatangkan dengan pilihan Awesome Lavender, Awesome Black, Awesome White, dan Awesome Lime. Akhir sekali, Galaxy A26 5G tersedia dengan pilihan warna Black, Mint, dan Peach Pink.
Samsung menjanjikan kemaskini keselamatan selama enam tahun dan kemaskini OS sebanyak enam kali untuk ketiga-tiga model ini. Galaxy A56, Galaxy A36, dan Galaxy A26 akan mula dijual di Malaysia pada 18 Mac 2025. Harga untuk pasaran tempatan bagaimanapun masih lagi belum diumumkan.



















