Biasanya pengguna akan melakukan reset pada telefon pintar masing-masing apabila menghantarnya untuk dibaiki di pusat khidmat untuk mengelakkan data sulit seperti foto, dokumen, akaun dan sebagainya jatuh ke pihak lain. Keadaan ini agak melecehkan kerana pengguna perlu melakukan sandaran (backup) untuk peranti berkenaan dan perlu memulihkannya semula selepas mendapatkannya kembali selepas dibaiki.
Oleh itu, Samsung telah memperkenalkan kaedah bagi mengatasi masalah tersebut melalui Repair Mode. Anda boleh mengaksesnya menerusi bahagian Battery and Device Care di dalam Settings. Sebaik sahaja diaktifkan, telefon berkenaan akan melalui proses ‘reboot’.
Mod ini akan menyorokkan kesemua data peribadi termasuk foto, esej, akaun dan juga aplikasi. Hanya aplikasi lalai (default) yang telah dipasangkan sahaja yang aktif. Secara ringkasnya, ia seakan-akan menjadikan telefon berkenaan seperti telah direset.
Selepas telefon pintar berkenaan dibaiki dan diambil semula, anda boleh menyahaktifkan Repair Mode tersebut dengan menggunakan cap jari atau kunci paten (pattern lock). Telefon berkenaan seterusnya akan di’reboot’ dan akan kembali semula dengan kesemua data pengguna sebelum Repair Mode diaktifkan. Kesemua tetapan yang telah diubah oleh juruteknik komputer ketika membaiki telefon berkenaan juga akan dikembalikan kepada tetapan asal dari pengguna.
Terdapat juga pilihan yang membolehkan telefon tersebut mewujudkankan sebuah log yang merekodkan isu terbaru dan aplikasi apa yang digunakan ketika masalah berlaku. Ini seterusnya mampu mengenalpasti punca masalah dengan lebih cepat. Log ini tidak akan merekodkan maklumat peribadi dan mempunyai pilihan untuk tidak diwujudkan apabila memasuki Repair Mode.
Repair Mode ini akan diaktifkan di dalam siri Galaxy S21 terlebih dahulu melalui kemaskini perisian. Menurut Samsung, pihaknya kini sedang merancang untuk memperkenalkan mod tersebut ke lebih banyak model di masa akan datang. Buat masa ini mod ini akan diperkenalkan di Korea Selatan terlebih dahulu sebelum diperluaskan ke pasaran-pasaran lain termasuk Malaysia.













