Samsung dilaporkan akan melancarkan laptop Windows 10 yang menggunakan pemprosesan Exynos dan GPU AMD. Laporan dari ZDNet Korea menyebut, Samsung akan melancarkan laptop berkenaan pada pertengahan tahun ini, selepas pelancaran Galaxy Note baharu.
Laptop dari Samsung ini dikatakan mengambil pendekatan yang berbeza dengan Windows 10 ARM. Sebelum ini, laptop Samsung Galaxy Book S dan Galaxy Book2 kedua-duanya merupakan peranti ARM dengan sistem operasi Windows 10 yang menggunakan pemprosesan Qualcomm.
Samsung baru-baru ini telah mengumumkan pemprosesan mudah alih premium Exynos 2100 di dalam acara Unpacked 2021. Cipset berkenaan dibina melalui proses pembuatan EUV 5nm dan dilapor telah menghasilkan prestasi yang mengkagumkan.
Bagaimanapun, pemprosesan Exynos hadir dengan masalahnya tersendiri terutamanya isu cepat panas. Malah, ianya sering bermasalah dalam memproses grafik.
Jika ianya digunakan pada laptop, kemungkinan isu kepanasan ini dapat diselesaikan kerana kaedah penyejukan pemprosesan pada laptop dengan telefon pintar adalah berbeza. Tambahan pula, apabila digandingkan dengan pemprosean AMD, isu grafik pada Exynos juga dijangkakan dapat diselesaikan.
Selain itu Windows 10 pada ARM juga kini sudah berubah menjadi lebih baik berbanding ketika pelancarannya dahulu. Malah kini lebih banyak aplikasi Windows 10 yang menyokong peranti ARM. Microsoft juga sedang mengusahakan emulasi x64 bagi mempermudahkan pengguna.
(Imej cover adalah Samsung Galaxy Book ION)













