Galaxy Z Flip merupakan siri telefon pintar boleh lipat Samsung yang paling popular atas keunikannya yang tersendiri. Harga jualannya di julat sama seperti peranti-peranti mercu lain di pasaran. Pada harga dari RM4,999, ia dianggap sebagai wajar terutama mengambil kira bentuk cengkerang serta ciri versatilitinya.
Samsung datang lagi dengan Galaxy Z Flip 7 di dalam acara Unpacked di New York yang diadakan pada hari ini. Ia berkesinambungan dari Galaxy Z Flip 6 yang mengetengahkan kelebihan fungsi-fungsi berasaskan kecerdasan buatan melalui platform Galaxy AI.
Jika Galaxy Z Flip 5 mula memperluaskan paparan luarannya hingga hampir memenuhi bahagian separuh atas siri ini, Galaxy Z Flip 6 mengorak lebih lagi dengan memanfaatkan keseluruhan ruangan tersebut.

Hanya dua buah modul kameranya sahaja yang kelihatan pada bahagian luaran skrin telefon pintar boleh lipat ini dengan selebihnya ia memanfaatkan ruangan skrin berukuran 4.1-inci untuk paparan luarannya.
Sekali pandang Galaxy Z Flip 7 kelihatan tidak jauh bezanya dengan model terdahulu terutama pada bahagian sisinya yang kelihatan petak. Namun, untuk anda yang mempunyai pandangan yang cermat ia menampilkan ciri-ciri unik yang berbeza dari model Galaxy Z Flip 6 sebelum ini.

Penambahbaikan pada bahagian engselnya juga lebih ketara dengan lekuk pada bahagian paparan dalamannya kali ini hampir tidak kelihatan. Ia hampir sahaja nampak seperti paparan telefon pintar konvensional. Tahap ketahanannya juga dititikberatkan melalui penarafan kerintangan debu dan air IP48.
Kuasa Pemprosesan Exynos

Kuasa pemprosesan untuk telefon pintar boleh lipat kali ini dikuasakan oleh pemprosesan buatan Samsung sendiri, Exynos 2500. Ia didatangkan bersama-sama RAM 12GB dan pilihan storan sehingga 512GB. Prestasinya pula seperti dijangka dapat dikendalikan dengan lancar dan kemas yang turut disumbangkan oleh perisian Android 16 menerusi One UI 8.
Kehadiran antaramuka baharu ini juga dilengkapkan dengan ciri-ciri Galaxy AI yang telah diperkemaskan. Apa yang menjadikan perisian baharu Samsung ini lebih menarik adalah pada kecekapan penggunaan tenaganya yang membolehkan baterinya yang berkapasiti 4,300mAh digunakan lebih lama.

Kamera utamanya masih lagi kekal dengan 50MP seperti yang ada pada Galaxy Z Flip 6 sebelum ini. Walaupun sensornya sama, pandangan awal kami merasakan Samsung memberikan lebih tumpuan terhadap perisian memproses pengimejan pasca tangkapannya. Justeru, dijangkakan Galaxy Z Flip 7 berupaya memberikan hasil fotografi yang baik terutamanya bagi tujuan perkongsian media sosial.
Dari segi pilihan warna, Samsung menawarkan tiga jenis warna yang terdiri daripada Blue Shadow, Jet-Black dan Coral-red. Turut ditawarkan warna eksklusif Mint yang hanya boleh didapati secara dalam talian menerusi Samsung.com
Nantikan ulasan penuh kami mengenai Galaxy Z Flip 7 yang dijangka akan diterbitkan dalam masa yang terdekat.













