Siri telefon pintar Samsung Galaxy Fan Edition (FE) pertama kali diperkenalkan melalui Galaxy S20 FE dan seterusnya disusuli dengan Galaxy S21 FE. Atas sebab itu, sebahagian peminat Samsung menjangkakan Galaxy S22 FE pula akan menyusul kelak.
Walaubagaimanapun, terdapat khabar angin dari pelbagai sumber yang mengatakan Samsung mungkin tidak akan melancarkan Samsung Galaxy S22 FE.
Tidak dapat dipastikan mengapa pula siri telefon pintar FE ini tidak akan diteruskan selepas lebih kurang dua tahun ia muncul di pasaran. Perkembangan ini pastinya menggusarkan sebahagian peminat yang inginkan telefon pintar dengan cipset mercu pada harga mampu milik.
Terdahulu Samsung dilaporkan mengalami masalah untuk melancarkan Galaxy S21 FE hingga terpaksa hadir hampir setahun selepas siri Galaxy S21 diperkenalkan. Hal ini dikatakan berpunca daripada masalah bekalan cip global yang berlaku sejak dari tahun lepas dan berlarutan hingga kini.
Pun begitu, hal ini tidak dirasakan mampu menjadi punca utama jika Galaxy S22 FE tidak dilancarkan kelak memandangkan siri FE seperti Samsung Galaxy S21 FE masih mempunyai daya tarikannya yang tersendiri.













