Bagi anda yang terlepas peluang untuk mendapatkan Samsung Galaxy Note 7 selepas penjualannya ditamatkan akibat masalah bateri, ini merupakan peluang kedua untuk mendapatkannya. Itupun jika anda sanggup tempah flight ke Seoul, Korea Selatan untuk membelinya.
Pihak Samsung telah mengesahkan kehadiran Galaxy Note 7 dan untuk versi ini, ia menggunakan nama Galaxy Note 7 Fan Edition atau singkatannya FE. Ia dijadualkan akan dilancarkan pada 7 Julai ini untuk pasaran Korea Selatan. Secara umumnya, perkakasan dan perisiannya masih lagi sama dan apa yang membezakannya adalah pada penggunaan baterinya yang lebih selamat dan lebih kecil kapasitinya serta telah melepasi ujian piawai yang lebih ketat.
Samsung Galaxy Note 7 FE hanya diperuntukkan sebanyak 400,000 unit sahaja bagi pasaran Korea Selatan dengan harga 699,600 won (lebih kurang RM2626.69). Pihak Samsung masih belum menentukan berapa jumlah unit yang akan diperuntukkan bagi jualan di negara-negara lain setakat ini.
Sebelum ini, jualan Samsung Galaxy Note 7 telah dipanggil semula akibat masalah yang dihadapi pada baterinya yang mengakibatkan letupan dan kebakaran. Jumlah penarikan semula yang besar ini pernah mewujudkan kebimbangan di kalangan aktivis alam sekitar kerana akan menghasilkan sisa pencemaran elektronik yang besar. Namun, melalui jualan telefon pintar yang telah refurbished ini diharapkan mampu mengurangkan impak pencemaran alam sekitar disebabkan penarikan semula jualan Samsung Galaxy Note 7 dari pasaran ini.
Sumber berita diperoleh dari Phone Arena













