Samsung Malaysai telah memperkenalkan Galaxy M32 bersempena jualan dalam talian 8.8. Telefon pintar peringkat menengah ini dijual secara eksklusif dalam talian dan anda boleh mendapatkannya pada harga diskaun minggu ini.

Harga Samsung Galaxy M32

Harga telefon Samsung ini secara rasminya ialah RM 1,099, namun anda boleh mendapatkannya pada RM 888 sepanjang tempoh promosi tersebut. Telefon ini hanya ditawarkan secara eksklusif di Lazada dan tempoh promosi ini telah bermula dari 6 Ogos sehingga 8 Ogos 2021.

Spesifikasi Samsung Galaxy M32

Samsung Galaxy M32 merupakan kesinambungan dari Galaxy M31 yang dilancarkan pada tahun lalu. Seperti kebanyakan telefon siri Galaxy M yang dilancarkan pada tahun ini, ia menampilkan rekaan bonggolan segiempat kuad-kamera dan garis menegak pada permukaan belakangnya. Apa yang perlu diambil perhatian ialah, Galaxy M32 untuk pasaran Malaysia ini berbeza dengan model yang dijual di pasaran India.

Skrin telefon ini menampilkan paparan Super AMOLED Full HD+ 6.4-inci, tetapi tiada kadar penyegaran semula 90Hz. Samsung Malaysia tidak menyatakan dengan lebih lanjut mengenai jenis cipset yang digunakan, namun menyatakan ia menggunakan cipset okta-teras 2GHz/1.8GHz. Untuk memori dan storannya, telefon ini menawarkan masing-masing 8GB dan 128GB dengan slot kad mikroSD untuk penambahan ruangan storan.

Seterusnya, untuk kamera pula Galaxy M32 mempunyai sebuah sensor 64MP f/1.8 sebagai kamera utama, sensor ultra-lebar 8MP f/2.2, sensor berkedalaman 2MP f/2.4, dan sensor makro 2MP f/2.4. Untuk swafoto, kamera ini menyediakan sensor 20MP disebelah hadapannya.

Kapasiti bateri bagi model pasaran Malaysia ini sedikit kecil iaitu 5,000mAh berbanding di pasaran Malaysia yang mempunyai 6,000mAh. Ia boleh dicaskan melalui USB-C dan menyokong pengecasan pantas 25W. Selain itu, telefon ini juga menyediakan bicu audio 3.5mm, NFC dan pengimbas cap jari pada sebelah sisinya.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari laman rasmi telefon pintar ini di Samsung Malaysia. Jika anda berminat untuk mnedapatkannya, anda boleh mengunjungi kedai dalam talian rasmi Samsung di Lazada dan menikmati potongan diskaun bersempena jualan 8.8.

Tinggalkan komentar