Samsung telah melancarkan model baharu di dalam siri Galaxy Buds keluarannya menerusi Buds3 FE. Fon putik (earbuds) nirwayar baharu ini merupakan kesinambungan daripada Galaxy Buds FE yang diperkenalkan pada 2023.
Selain penambahbaikan dari segi prestasi audio dan keupayaan Galaxy AI, Galaxy Buds3 FE turut menerima rekaan baharu.
Sama seperti model-model Galaxy Buds3 lain, varian FE ini menampilkan rekaan bertangkai yang dipopularkan oleh Apple. Rekaan ini membolehkan kawalan berasaskan gestur seperti memicit dan menyapu. Selain daripada itu, putik ini juga mempunyai kemasan matte dwi-tona dengan serlahan separa telus.
Aksesori ini juga menampilkan pembesar suara yang lebih besar berbanding model terdahulu. Selain itu, fon putik ini juga didatangkan dengan ANC dipertingkatkan untuk mengurangkan hingar ambien, dan teknologi Crystal Clear Call berkuasa AI untuk pengalaman panggilan telefon yang lebih baik. Samsung juga mengoptimasikan kedudukan mikrofon di dalamnya untuk tangkapan suara yang lebih jitu.
Dari segi ciri-ciri Ai pula, fon putik ini boleh digunakan dengan arahan suara melalui sebutan frasa seperti “Hey Google” untuk fungsi seperti menyemak kalendar atau email. Ia turut boleh digunakan dengan aplikasi Galaxy AI Interpreter untuk membolehkan pemakainya mendengar kandungan di dalam bahasa asing.
Menurut Samsung, Galaxy Buds3 FE akan tersedia di pasaran tempatan bermula 19 September 2025. Setakat ini harganya masih belum diumumkan dan belum disenaraikan di laman web rasminya lagi.