Varian 5G untuk Samsung Galaxy A23 secara rasminya telah diperkenalkan dengan beberapa perubahan kecil. Antaranya penggunaan cipset 5G baharu dengan kadar penyegaran skrin yang dikatakan telah diturunkan kepada 60Hz sahaja.
Spesifikasi rasmi mengenai telefon pintar ini masih lagi belum dikeluarkan oleh Samsung. Namun, berdasarkan keputusan semakan penanda aras Geekbench mengatakan ia akan menggunakan cipset Qualcomm Snapdragon 695.
Cipset berkenaan diumumkan bersama-sama cipset Qualcomm Snapdragon 680 yang digunakan pada Galaxy A23 versi 4G. Ia dihasilkan dari proses pembuatan 6nm yang sama dari TSMC, namun beberapa generasi lebih baik dari 680 kerana menggunakan teras Kryo 660.
Samsung Galaxy A23 5G menawarkan pilihan RAM 4GB, 6GB atau 8GB dengan pilihan storan sama ada 64GB atau 128GB yang boleh diperluaskan melalui slot kad mikroSD sehingga 1TB. Sama seperti versi 4G, telefon ini menggunakan antaramuka OneUI 4.1 berasaskan Android 12.
Paparan telefon pintar baharu dari Samsung ini merupakan LCD 6.6-inci beresolusi FHD+, cuma tidak dapat dipastikan sama ada kadar penyegarannya sehingga 90Hz atau sekadar 60Hz sahaja.
Kameranya pula masih sama dengan dengan kamera utama 50MP f/1.8 dengan Penstabil Imej Optikal (OIS), bersama-sama kamera ultra-lebar 5MP f/2.2, kamera berkedalaman 2MP dan kamera makro 2MP. Pada sebelah hadapannya disediakan sebuah kamera 8MP f/2.2.
Baterinya juga kekal sama iaitu 5,000mAh, namun kelajuan mengecasnya tidak dinyatakan sama ada menyokong sehingga 25W seperti versi 4G atau tidak.
Tiada maklumat mengenai pelancaran rasmi Samsung Galaxy A23 5G setakat ini dan dijangka ia mungkin dilancarkan di Eropah atau India. Modelnya pada tahun lepas Galaxy A22 5G ketika dilancarkan di Malaysia di jual pada harga RM899, manakala Galaxy A23 4G LTE yang diperkenalkan pada tahun ini pula berharga RM999. Oleh itu, berkemungkinan besar harga bagi Galaxy A23 5G ini mungkin lebih tinggi dari itu.















