realme sedang giat membangunkan telefon pintar dengan bateri besar. Mei lalu realme telah mendedahkan sebuah prototaip dengan bateri 10,000mAh. Kemudian dua buah telefon pintar dengan konsep yang sama di realme 828 Fan Festival pada minggu lepas.

Walaupun prototaip tersebut hanya sebuah demonstrasi teknologi yang sedang diterokai realme, pihak syarikat telah mengesahkan telefon pintar dengan bateri 10,000mAh akan diperkenalkan secara komersil.

Seorang pengguna Weibo bertanyakan Naib Presiden realme Chase Xu sama ada telefon pintar dengan bateri 10,000mAh akan dilancarkan pada penghujung tahun ini. Sebagai respon, beliau menyatakan telefon pintar tersebut dijangka hadir pada awal tahun hadapan dan tidak mengulas lanjut.

Berdasarkan telefon pintar konsep yang dipamerkan, kemungkinan ia akan menggunakan 10% bateri anod silikon untuk ketumpatan tenaga 887Wj/L. Ia juga akan menampilkan rekabentuk yang nipis berketebalan 8.5mm dan berat sekitar 210 gram.

Buat masa ini nama telefon pintar berkenaan masih lagi belum dapat dipastikan. Ada ura-ura yang mendakwa ia akan dilancarkan sebagai realme Neo 8 Pro di China memandangkan siri Neo 8 sedang dipersiapkan. Pun begitu, nama lain juga mungkin akan digunakan kelak.

realme bukanlah syarikat pertama yang akan memperkenalkan telefon pintar dengan bateri 10,000mAh. HONOR Power 2 yang berkesinambungan dari HONOR Power juga dikatakan akan menampilkan bateri dengan kapasiti yang sama.

Tinggalkan komentar