Electronic Arts (EA) secara rasminya mengumumkan bahawa permainan simulasi perlumbaan mudah alih popular, Real Racing 3, akan ditamatkan operasinya selepas lebih 13 tahun berada di pasaran.
Pengumuman mengejutkan ini menandakan berakhirnya era bagi salah satu judul permainan perlumbaan paling ikonik pada platform iOS dan Android.
Garis Masa Penutupan dan Kesan Kepada Pemain
Proses penutupan ini akan berlaku secara berperingkat bermula bulan ini. Berkuat kuasa serta-merta pada 18 Disember 2025, permainan ini telah dinyahsenarai (delisted) daripada gedung aplikasi utama seperti Apple App Store dan Google Play Store. Pengguna baharu kini tidak dapat lagi memuat turun aplikasi tersebut.
Selain itu, kesemua sistem pembelian dalam aplikasi (in-app purchases) telah dinonaktifkan, bermakna pemain sedia ada tidak lagi boleh membeli mata wang maya atau pek kenderaan menggunakan wang sebenar.
Fasa terakhir akan dilaksanakan pada 19 Mac 2026, di mana pelayan permainan akan dipadamkan sepenuhnya. Selepas tarikh tersebut, permainan ini dijangka tidak lagi boleh dimainkan, memandangkan Real Racing 3 memerlukan sambungan pelayan untuk semakan data dan profil pemain.
Kenyataan Rasmi Pembangun
Pihak pembangun menyifatkan langkah ini sebagai satu keputusan yang berat namun perlu diambil memandangkan usia permainan tersebut.
“Kami telah membuat keputusan sukar untuk menamatkan (‘sunset’) Real Racing 3. Ini adalah masa yang emosional bagi pasukan kami dan komuniti yang telah menyokong permainan ini selama lebih sedekad.” jelas kenyataan yang dikeluarkan oleh Electronic Arts (EA)
Legasi 13 Tahun Real Racing 3
Dilancarkan pada tahun 2013, Real Racing 3 menetapkan piawaian baharu bagi grafik permainan mudah alih pada zamannya.
Sebanyak lebih dari 500 kenderaan berlesen dan trek sebenar dari seluruh dunia digunakan di dalam permainan ini. Ia kekal sebagai penanda aras bagi genre simulasi perlumbaan di telefon pintar.
Walau bagaimanapun, kebergantungan permainan ini kepada pelayan dalam talian menimbulkan kebimbangan dalam kalangan komuniti. Pemain bimbang segala kemajuan dan koleksi kereta digital mereka akan hilang sepenuhnya apabila pelayan ditutup kelak.
Pemain sedia ada masih mempunyai tempoh kira-kira tiga bulan sehingga 19 Mac 2026 untuk menikmati permainan ini sebelum ia dihentikan sepenuhnya.













