Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengumumkan bahawa perkhidmatan ‘Rapid On-Demand’ akan mula mengenakan tambang tetap sebanyak RM2 bermula Februari 2026.
Penetapan kadar baharu ini menandakan tamatnya fasa ‘Proof of Concept’ (POC) bagi perkhidmatan tersebut yang telah dijalankan sejak pengenalannya pada Mei 2023.
Langkah penetapan harga ini menyaksikan peningkatan sebanyak RM1 berbanding kadar promosi terdahulu. Namun ia disifatkan masih berada pada tahap yang mampu milik.
Kadar rata RM2 ini akan dikenakan secara seragam bagi semua laluan yang disokong perkhidmatan tersebut. Tambang ini juga terpakai kepada pemegang pas perjalanan sedia ada termasuk pas My50, Rapid Kota, Rapid Kembara, dan Rapid Keluarga.
Kumpulan Sasar terus menikmati Subsidi Pengangkutan Awam
Walau bagaimanapun, Prasarana memastikan golongan sasar terus mendapat manfaat daripada subsidi pengangkutan awam.
Bagi operasi di Lembah Klang, pemegang Kad Konsesi Rapid Pelajar dan Rapid Emas layak menerima diskaun sebanyak 50 peratus daripada tambang tersebut. Sementara itu, pemegang Kad Konsesi Rapid Mesra bagi Orang Kurang Upaya (OKU) akan terus menikmati perkhidmatan ini secara percuma.
Menurut Ketua Perancang dan Strategi Prasarana, Sharul Azwa Abdul Rani, perkhidmatan ini berfungsi sebagai Pengangkutan Respons Permintaan (DRT) yang direka untuk mengatasi jurang sambungan perbatu pertama dan terakhir dalam rangkaian pengangkutan awam.
Ia melengkapkan laluan rel dan bas Rapid KL sedia ada dengan menyediakan sambungan yang lebih fleksibel antara kawasan kediaman dan hab transit berdekatan.
Dari aspek teknologi dan penggunaan, Prasarana telah melancarkan aplikasi khusus ‘Rapid On-Demand’ pada tahun 2025. Aplikasi ini menyatukan platform tempahan pihak ketiga yang digunakan sebelum ini seperti Kummute, Trek Rides, dan Mobi ke dalam satu antaramuka tunggal bagi memudahkan pengalaman pengguna.
Berikut adalah perancangan masa hadapan Prasarana bagi perkhidmatan Rapid On-Demand:
- Penggunaan Kenderaan Elektrik (EV): Sebanyak 300 van elektrik akan mula digunakan secara berperingkat bermula akhir tahun 2027 hingga penghujung 2028.
- Taburan Kenderaan: 130 unit akan ditempatkan di Lembah Klang, manakala 170 unit lagi diperuntukkan untuk operasi di Pulau Pinang.
- Pengembangan Zon: Penambahan 22 zon baharu di Lembah Klang dan 23 zon baharu di Pulau Pinang dirancang bagi memperluaskan liputan.
Setakat ini, Rapid On-Demand beroperasi di 82 zon secara keseluruhan, yang merangkumi 71 zon di Lembah Klang dan 11 zon di Pulau Pinang.
Peralihan kepada kadar tambang tetap dan rancangan elektrifikasi armada, perkhidmatan ini dilihat akan terus menjadi komponen penting dalam ekosistem mobiliti bandar yang lestari.













