Timbalan Presiden Kanan Radeon Technologies Group, Raja Koduri telah mendedahkan baru-baru ini bahawa syarikat berkenaan tidak lagi akan menamakan GPU-GPUnya berdasarkan nama-nama pulau. Sebaliknya, GPU-GPU akan dinamakan sempena nama-nama bintang dan galaksi-galaksi di angkasa raya.
Perubahan penamaan GPU ini dilihat selaras dengan penstrukturan semula Radeon Technologies Group yang baru sahaja dibentuk. Mungkin, melalui penamaan ini menunjukkan perubahan besar yang bakal dilakukan oleh syarikat ini.
Menurut Raja Koduri, GPU-GPU dengan nama kod Polaris merupakan permulaan kepada “penjelajahan ke angkasa” Radeon. Bagaimanapun, penamaan nama kod GPU tidak harus dikelirukan dengan nama-nama kad grafik. Nama-nama kod diberikan berdasarkan jenis senibina yang diguna pakai dalam pembuatan GPU-GPU terbabit. Misalnya, Nvidia menggunakan nama kod Maxwell bagi kad grafik generasi terkininya, GeForce 900 series.
Beliau turut menyatakan perancangan Radeon untuk menyatukan nama-nama kod senibina GPU yang terkini pada suatu ketika nanti. Ini bakal memudahkan para pengguna AMD untuk membezakan antara senibina-senibina GPU AMD berdasarkan namanya.
Terdapat ura-ura yang mengatakan senibina GPU sedia ada akan ditukar nama kepada nama-nama bintang dan galaksi. GPU dengan kod nama Greenland dikhabarkan akan dinamakan semula kepada Vega-10.
Diharapkan agar penamaan semula GPU-GPU AMD bakal membawa pengeluar kad grafik ini mercu era baru dan harapan bagi peminat-peminat AMD sudah tentu inginkan GPU AMD yang bakal keluar nanti lebih baik dari apa yang dikeluarkan oleh Nvidia.
-Sumber berita diperoleh dari Venture Beat













