Qualcomm secara rasminya telah memperkenalkan siri pemproses laptop baharu, Snapdragon X2 Plus di dalam sebuah acara yang berlangsung di CES 2026.

Cip yang diposisikan di bawah varian X2 Elite yang dilancarkan pada tahun lalu ini menjanjikan peningkatan prestasi yang ketara berbanding generasi terdahulu. Fokus utamanya dalam aspek kecekapan tenaga dan pemprosesan kecerdasan buatan (AI).

Siri Snapdragon X2 Plus ini dikuasakan oleh CPU Qualcomm Oryon Generasi ke-3. Seni bina baharu ini menawarkan peningkatan prestasi teras tunggal (single-core) sehingga 35 peratus. Di samping itu juga, ia mengurangkan penggunaan kuasa sebanyak 43 peratus berbanding generasi sebelumnya.

Menurut kenyataan rasmi daripada Qualcomm, siri ini hadir dalam dua varian utama (SKU):

  • X2P-64-100: Varian yang lebih berkuasa ini dilengkapi dengan 10 teras CPU Oryon (6 Teras Utama pada 4.0GHz dan 4 Teras Prestasi pada 3.4GHz) serta jumlah cache sebanyak 34MB. Ia turut memuatkan GPU Adreno X2-45 dengan kelajuan jam 1.7GHz.
  • X2P-42-100: Varian ini menyasarkan segmen yang lebih rendah dengan 6 teras CPU (kesemuanya Teras Utama pada 4.0GHz) dan jumlah cache 22MB. GPU Adreno X2-45 pada model ini beroperasi pada kelajuan 0.9GHz.

Selain peningkatan CPU dan GPU, keupayaan AI turut diberi nafas baharu menerusi NPU Hexagon yang dipertingkatkan. NPU ini mampu memberikan prestasi AI sehingga 80 TOPS (Trillions of Operations Per Second). Ia penting untuk melancarkan aplikasi berasaskan AI pada peranti.

Spesifikasi lain

  • Memori: Sokongan LPDDR5x dengan kelajuan sehingga 9523MT/s.
  • Ketersambungan: WiFi 7, rangkaian 5G, dan Bluetooth 5.4.

Kehadiran cip ini dijangka akan merancakkan lagi pasaran laptop yang memfokuskan kepada kecekapan tenaga dan AI. Laptop yang dikuasakan oleh Snapdragon X2 Plus akan mula memasuki pasaran pada separuh pertama tahun ini.

Tinggalkan komentar