Qualcomm, salah sebuah syarikat peneraju utama pembuatan cip telefon pintar telah mengorak langkah dengan menceburi bidang dron kegunaan umum. Kemasukan Qualcomm di dalam segmen pasaran dron ini dijangka mampu menjadikan gajet mampu terbang ini lebih sofistikated dan lebih murah dari apa yang ditawarkan di pasaran pada ketika ini.

Minggu ini, Qualcomm memperkenalkan Snapdragon Flight. Ini merupakan sistem di atas cip (system-on-a-chip, SoC) Snapdragon pertama seumpamanya yang direka khusus untuk kegunaan dron.

Cip ini dibina berasaskan pemprosesan Snapdragon 801 yang sering diketemukan pada telefon-telefon pintar masa kini. Pemprosesan ini memiliki empat teras 2.26 GHz, pemproses isyarat digital bagi kawalan penerbangan masa nyata, sambungan Wi-Fi dan Bluetooth, penerima sistem pengemudi satelit global dan pemprosesan video 4K.

Snapdragon Flight hadir buat pertama kalinya melalui dron buatan China, Yuneec yang dijangka hadir ke pasaran pada 2016.

Permintaan terhadap UAV (unmanned aerial vehicle, pesawat tanpa juruterbang) dikalangan pengguna biasa semakin meningkat lewat kebelakangan ini. Sebagaimana yang diterangkan oleh Wired, kebanyakan pengguna perlu membuat dua pilihan, sama ada mendapatkan dron yang berspesifikasi tinggi tetapi mahal, atau mendapatkan pada harga yang murah yang fungsinya sekadar alat permainan semata-mata.

Jika cip SoC dari Qualcomm ini mencapai ekspektasi, syarikat teknologi ini bakal meletakkan posisi mereka sebagai peneraju di dalam segmen pasaran dron yang paling efisien dengan kemampuan pemprosesan imej yang sangat baik serta kehebatan teknologi komunikasinya.

Dron-dron yang semakin mudah diperoleh di pasaran umum kebelakangan ini tentunya akan memeningkan kepala sesetengah pihak terutamanya pihak berkuasa memandangkan dron-dron ini mudah sahaja disalahgunakan oleh para individu-individu yang tidak bertanggungjawab.

Sumber berita diperoleh dariĀ Wired, Imej cover dari Shutterstock

Tinggalkan komentar