Amazon sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk mewujudkan pusat-pusat data di Malaysia sebagai sebahagian daripada perluasan Amazon Web Services (AWS) Region di dalam negara. Terkini, terdapat laporan yang memakumkan lokasi di mana fasiliti pertama tersebut ditempatkan.

Menurut perkongsian oleh seorang pengguna di laman forum Lowyat.net, eds2 projek pusat data tersebut telah pun dijalankan di Persiaran APEC, Cyberjaya. Berdasarkan foto papan tanda yang dikongsikannya, projek tersebut akan dibangunkan secara berfasa melibatkan pembangunan pusat data, pejabat-pejabat dan bangunan-bangunan berkaitan termasuk fasilitinya.

Projek pusat data AWS di Malaysia itu juga dipantau oleh Majlis Daerah Sepang dengan penglibatan pelbagai pihak seperti Asima Architects Sdn Bhd, Sunway Construction Sdn Bhd, Landarc Associates Sdn Bhd, dan Arup Jururunding Sdn Bhd. Bagaimanapun, tarikh mula dan siap projek pembinaan tersebut tidak dinyatakan di dalam papan tanda tersebut buat masa ini.

Dalam perkembangan berkaitan, akhbar New Straits Times melaporkan Sunway Construction Sdn. Bhd. telah berjaya memperoleh projek pembangunan pusat data bernilai RM747.8 juta pada Mac lalu untuk “syarikat teknologi multinasional dari AS” di Selangor.

Memetik sumber dari Bursa Malaysia Securities Bhd, pihak syarikat menyatakan projek berkenaan telah dijadualkan bermula pada 15 Mei 2024 dan dijangka siap sekitar suku kedua 2027.

Tidak dapat dipastikan sama ada projek-projek yang dinyatakan tersebut merupakan projek yang sama.

Tinggalkan komentar