PUBG MOBILE telah melancarkan sambutan berskala besar di Bangkok, Thailand, sebagai tuan rumah bagi Kejohanan Dunia PUBG MOBILE (PMGC) 2025 yang berlangsung sepanjang bulan Disember ini.

Sebanyak 16 pasukan terbaik dunia bakal berentap di pusingan Grand Finals dari 12 hingga 14 Disember untuk merebut sebahagian daripada hadiah terkumpul bernilai USD3 juta (RM13.4 juta).

Acara ini bukan sahaja mempertaruhkan gelaran juara dunia, malah mengubah bandar raya Bangkok menjadi sebuah taman tema gergasi menerusi pelbagai aktiviti menarik dan kolaborasi eksklusif.​

Sempena kejohanan berprestij ini, Bangkok bertukar wajah dengan visual dan pemasangan seni di seluruh bandar, termasuk di lokasi tumpuan seperti Sungai Chao Phraya dan pusat beli-belah Siam Paragon.

Antara tarikan utama ialah pertunjukan cahaya dron terbesar yang menampilkan 2,000 unit dron pada 13 Disember, serta perarakan bot gergasi PUBG MOBILE yang membawa arca watak Lone Survivor setinggi 7.2 meter.

Peminat turut disajikan dengan pengalaman unik menaiki tuk-tuk bertema khas dan melawat restoran yang menawarkan menu serta barangan eksklusif permainan tersebut.​

Menurut kenyataan rasmi daripada PUBG MOBILE, acara ini disifatkan sebagai pesta silang budaya yang menggabungkan elemen T-pop, fesyen, dan e-sukan bagi mencipta pengalaman audio-visual yang memukau buat peminat di seluruh dunia.

Selain perlawanan sengit, pentas PMGC akan dimeriahkan dengan persembahan daripada artis ternama Thailand seperti PAPER PLANES dan MILLI, serta pertunjukan fesyen PUBG MOBILE Ultimate Runway yang mempamerkan koleksi X-Suit secara langsung.​

Sorotan utama Karnival PMGC 2025

Berikut adalah sorotan utama dan ciri menarik sepanjang karnival PMGC 2025:

  • Kolaborasi Mewah: Kerjasama dengan Balenciaga menampilkan jaket eksklusif untuk juara, manakala Porsche menawarkan sebuah Porsche Cayenne kepada pemain terbaik (MVP) kejohanan.​
  • Zon Kreatif: Pameran PDP Creative Zone dan WonderPick Co-creation Show meraikan hasil karya pencipta kandungan global dengan hadiah terkumpul bagi kategori World of Wonder (WOW) mencecah ASD10 juta.​
  • Aktiviti Peminat: PUBG UNITED Fan Zone di Siam Paragon menawarkan pengalaman interaktif seperti Metro Royale Battle, Frosty Barber Shop, dan peluang memenangi ganjaran eksklusif.​

Kejohanan ini bukan sahaja menjadi medan pertarungan e-sukan, malah satu keraian komuniti global yang bakal melakarna sejarah baharu dalam industri permainan mudah alih.

Peminat boleh menyaksikan siaran langsung PMGC 2025 menerusi saluran rasmi YouTube, Facebook, dan Twitch PUBG MOBILE Esports, serta menantikan pengumuman visi baharu permainan ini untuk tahun 2026 yang dijadualkan pada 12 Disember nanti.

Tinggalkan komentar