Pihak kerajaan mendakwa permainan PUBG memberikan kesan negatif terhadap perkembangan mental dikalangan remaja.
Permainan tembak menembak ‘Battle Royale’ seperti Fortnite dan Apex Legends mungkin telah melepasi PlayerUnknown’s Battlegrounds dalam beberapa segi. Namun, PUBG kini kembali menjadi tajuk utama berikutan kontroversi terbaru – diharamkan oleh pihak kerajaan.
Pada bulan lepas, terdapat laporan pihak berkuasa di India telah menahan sepuluh pelajar kolej kerana bermain PUBG selepas sesetengah bandar di negeri Gujarat, India telah menguatkuasakan larangan berkenaan dan seterusnya diikuti diseluruh negara.
Nepal pula telah mengarahkan setiap ISP dan pengendali talian mudah alih untuk menyekat permainan berkenaan menurut The Kathmandu Post, The Himalayan Times, dan Reuters.
Menurut The Kathmandu Post, pihak berkuasanya juga sudah bersiap sedia untuk menjalankan tangkapan terhadap mana-mana individu yang didapati bermain permainan berkenaan.
Sebagaimana yang dijangka, kerajaan Nepal membuat keputusan berdasarkan pandangan bahawa permainan digital perlu dikawal atas faktor boleh menyebabkan ketagihan dan menjadi punca perilaku ganas. Bagaimanapun, sesetengah pakar meragui pandangan berkenaan apabila kajian untuk mengaitkan permainan video dan keganasan masih lagi belum menghasilkan keputusan keseluruhan yang muktamad.