Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) telah menurunkan penarafan keselamatan kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X90 2026 facelift daripada lima bintang kepada satu bintang sahaja.
Tindakan drastik ini diambil selepas badan penilai tersebut mendapati ketiadaan ciri Sistem Bantuan Pemandu Lanjutan (ADAS) yang penting pada model yang dikemas kini tersebut .
Proton X90 pada awalnya telah berjaya meraih penarafan cemerlang lima bintang pada tahun 2023 dengan skor keseluruhan sebanyak 83.79 mata di bawah protokol ASEAN NCAP 2021–2025.
Namun, ketiadaan ciri keselamatan pada model 2026 telah menyebabkan skor Bantuan Keselamatan turun ke tahap empat bintang. Manakala kategori Keselamatan Penunggang Motosikal merosot teruk kepada hanya satu bintang.
Mengikut protokol semasa, penarafan keseluruhan bagi sesebuah kenderaan akan dihadkan pada pencapaian terendah dalam mana-mana kategori. Ini sekali gus menyebabkan model ini jatuh ke tahap satu bintang.
Status lima bintang yang asal kini hanya terpakai dan diiktiraf bagi varian Proton X90 yang dikilangkan antara tahun 2023 hingga 2025 sahaja.
“Kami amat kesal dengan keputusan Proton untuk membuang teknologi ADAS yang mampu menyelamatkan nyawa daripada model facelift baharu ini. Demi melindungi pengguna dan mengekalkan integriti standard keselamatan, kami tiada pilihan melainkan menarik balik penarafan lima bintang 2023 tersebut,” menurut Prof. Madya Siti Zaharah Ishak, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) .
Ketua Teknikal ASEAN NCAP, Yahaya Ahmad, turut menekankan bahawa Pengesanan Titik Buta adalah faktor yang sangat kritikal bagi keselamatan penunggang motosikal. Ketiadaannya telah melucutkan mata penting yang sebelum ini melonjakkan X90 ke tahap tertinggi.
Berdasarkan spesifikasi rasmi, berikut adalah senarai sistem keselamatan ADAS utama yang telah digugurkan daripada Proton X90 2026:
- Pembrekan Kecemasan Berautonomi (AEB – Autonomous Emergency Braking)
- Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW – Forward Collision Warning)
- Amaran Keluar Lorong (LDW – Lane Departure Warning)
- Bantuan Pengekalan Lorong (LKA – Lane Keep Assist)
- Amaran Trafik Melintas Belakang (RCTA – Rear Cross Traffic Alert)
- Teknologi Pengesanan Titik Buta (Blind Spot Technology)
ASEAN NCAP dan Miros menggesa para pengguna untuk menyemak spesifikasi secara teliti sebelum membuat pembelian bagi memastikan varian pilihan mereka benar-benar menepati spesifikasi keselamatan standard.
Pengeluar automotif juga diingatkan agar tidak mengorbankan teknologi keselamatan yang terbukti berkesan semata-mata demi mengejar kemewahan luaran seperti sistem infotainmen atau balutan tempat duduk kulit yang tidak memberikan kelebihan nilai keselamatan nyawa pengguna.












