Proton secara rasminya melancarkan Saga MC2 facelift baharu dengan empat model baharu yang menawarkan pelbagai spesifikasi dan fungsi. Salah satu daripada model tersebut, Proton Saga Premium S 2022 yang menawarkan spesifikasi tertinggi kini menawarkan sokongan nirkunci untuk membuka pintu dan menghidupkan kenderaan.
Kaedah menghidupkan kenderaan secara nirkunci ini bukanlah sesuatu yang baru kerana Proton pernah memperkenalkannya pada model-model Proton terkini seperti Persona, Iris, dan X70.
Bagaimanapun, sokongan yang disediakan pada Proton Saga merupakan satu pembaharuan yang besar memandangkan ia merupakan model paling mampu milik Proton. Pun begitu, harga bagi model yang menyediakan sokongnan nirkunci ini, Proton Saga Premium S 2022 ini dijual pada harga RM44,300 tidak termasuk insurans.
Selain itu, Proton Saga Premium S 2022 hadir dengan penambahbaikan pada rekaan dalaman, serta lengkap dengan skirt bumper sisi dan hadapan, sedikit lowered, cermin sisi melipat secara automatik, dan rim aloi dwi-tona 15-inci dengan tayar 185/55.
Dari segi prestasinya, Proton Saga 2022 menggunakan enjin NA empat silinder 1.3 liter bersama-sama unit DOHC VVT. Untuk model Proton Saga Standard MT, ia menggunakan transmisi manual lima kelajuan. Manakala tiga model lagi menggunakan transmisi automatik empat kelajuan.
Lain-lain ciri menarik yang ditawarkan, Proton Saga Premium S menggunakan sistem penyaman udara yang dilengkapkan dengan penapis kabin N95. Ia juga menyediakan lampu hadapan daytime LED, kamera untuk mengundur, butang pada stereng, sensor parkir depan dan belakang, power windows, dan tiga port USB (satu depan, dua lagi di belakang).
Turut disediakan sebagai ciri keselamatan penggunanya dua beg udara pada sebelah hadapan, kawalan kestabilan elektronik, dan bantuan mendaki bukit.
Proton Saga 2022 dijual pada harga bermula dari:
- RM34,400 bagi model Standard M
- RM 38,300 bagi model Standard AT
- RM 41,300 bagi model Premium
- RM 44,300 bagi model Premium S













