Minggu lalu, terdapat laporan dari Utusan Malaysia yang menyatakan bahawa isian semula prabayar akan kembali kepada kadar sebelum GST bermula November ini. Bagaimanapun, langkah berkenaan dilihat tidak diteruskan berikutan pengumuman rebat GST untuk isian semula prabayar oleh Perdana Menteri kesayangan rakyat Malaysia, Datuk Seri Najib Razak ketika pembentangan Bajet 2016 di Parlimen Jumaat lalu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyatakan bahawa cas GST sedia ada yang dikenakan pada isian semula prabayar telco akan diteruskan sehingga mekanisme rebat baru yang akan diperkenalkan bermula 1 Januari 2016.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong mendedahkan bahawa mekanisme rebat tersebut akan diumumkan pada awal Disember ini berdasarkan perbincangan di antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dengan pihak penyedia perkhidmatan telco di Malaysia.

Pihak kerajaan juga akan membuat pengumuman bersama dengan penyedia perkhidmatan telco pada masa yang bersesuaian untuk mengelakkan sebarang kekeliruan. Mungkin kerumitan dalam melaksanakan sistem percukaian ini membuatkan pihak-pihak yang berkenaan masih lagi memerlukan lebih masa untuk memberikan apa yang terbaik untuk pengguna-pengguna perkhidmatan telekomunikasi prabayar.

Pihak penyedia perkhidmatan telco utama di Malaysia, Maxis, Celcom dan Digi pula bagaimanapun memberikan maklumbalas positif untuk memansuhkan GST dalam prabayar dengan mengembalikannya kepada pengguna dalam bentuk rebat demi memberikan keselesaan kepada pengguna dalam menggunakan perkhidmatan telco.

Jika tiada aral melintang, kita sebagai pengguna tentunya inginkan perkara berkaitan GST dan prabayar ini diselesaikan dengan seberapa segera memandangkan ianya sudah berlanjutan terlalu lama sejak kekeliruan mula timbul pada waktu pelaksanaannya April lalu.

-Sumber berita diperoleh dari Bernama

2 KOMEN

Tinggalkan komentar