POCO telah melancarkan model-model baharunya POCO X8 Pro dan POCO X8 Pro Max secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Kedua-dua telefon pintar ini ditawarkan pada harga bermula daripada RM1,499.
Siri baharu daripada POCO ini tampil berbeza kerana ia dilancarkan tanpa model asas. Sebaliknya terus memfokuskan kepada penawaran dua varian berspesifikasi tinggi.
Di samping model standard ‘Pro’ dan ‘Pro Max’, POCO turut menawarkan satu edisi khas yang dikenali sebagai Edisi Iron Man. Ia menampilkan rekaan kemasan belakang yang lebih eksklusif berbanding model biasa.
Menurut POCO, penggunaan MediaTek Dimensity 9500 pada model Pro Max merupakan yang pertama seumpamanya diperkenalkan oleh jenama tersebut.
Berikut adalah senarai spesifikasi dan ciri utama bagi siri POCO X8:
| Spesifikasi | POCO X8 Pro | POCO X8 Pro Edisi Iron Man | POCO X8 Pro Max |
|---|---|---|---|
| Saiz Paparan | 6.59 inci, 1.5K AMOLED | 6.59 inci, 1.5K AMOLED | 6.83 inci, 1.5K AMOLED |
| Kadar Segar Semula | 120Hz | 120Hz | 120Hz |
| Cip Pemprosesan | MediaTek Dimensity 8500-Ultra | MediaTek Dimensity 8500-Ultra | MediaTek Dimensity 9500 |
| Sistem Operasi | Xiaomi HyperOS 3 (Android 16) | Xiaomi HyperOS 3 (Android 16) | Xiaomi HyperOS 3 (Android 16) |
| Kamera Belakang | 50MP Utama + 8MP Sudut Lebar | 50MP Utama + 8MP Sudut Lebar | 50MP Utama + 8MP Sudut Lebar |
| Kamera Hadapan | 20MP | 20MP | 20MP |
| Kapasiti Bateri | 6,500 mAh | 6,500 mAh | 8,500 mAh |
| Pengecasan | 100W Berwayar, 27W Berbalik | 100W Berwayar, 27W Berbalik | 100W Berwayar, 27W Berbalik |
| RAM & Storan | 8GB RAM + 256GB / 512GB | 12GB RAM + 512GB | 12GB RAM + 256GB / 512GB |
| Harga | RM1,499 (256GB) RM1,699 (512GB) |
RM1,899 | RM1,999 (256GB) RM2,199 (512GB) |
| Ciri Tambahan | Rekaan standard siri X8 | Rekaan panel belakang eksklusif Iron Man | Kapasiti bateri dan saiz skrin paling besar |
POCO X8 Pro dijual pada harga RM1,499 (256GB) dan RM1,699 (512GB), manakala Edisi Iron Man (12GB RAM/512GB) berharga RM1,899. Bagi varian paling berkuasa iaitu POCO X8 Pro Max (12GB RAM), ia ditawarkan pada harga RM1,999 (256GB) dan RM2,199 (512GB).
Bersempena pelancarannya, POCO X8 Pro dan Edisi Iron Man ditawarkan potongan harga istimewa sehingga 5 April ini melalui rebat sebanyak RM200. Manakala untuk POCO X8 Pro Max pilihan storan 256GB dan 512GB pula masing-masing menerima diskaun promosi sebanyak RM300 dan RM400.


















