Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) akhirnya menamatkan spekulasi orang ramai apabila mengesahkan tarikh pelancaran bagi model baharu mereka, yang dikenali dengan kod nama D66B, pada 17 Disember 2025.​

Menerusi satu hantaran teaser di laman media sosial rasmi Perodua,diperlihatkan bayangan model SUV segmen-B yang dinanti-nantikan tersebut. Ia dikhabarkan akan menggunakan nama komersial Perodua Traz.​

Perincian Teaser dan Rekaan Luaran

Imej acah terbaharu yang dikongsikan memaparkan siluet kenderaan yang masih diselubungi bayang-bayang, namun beberapa ciri estetika utama dapat dikenal pasti dengan jelas.

Model ini dilihat tampil dengan warna badan merah yang mirip dengan Cranberry Red. Warna yang sama terdapat pada model Myvi dan Aruz sedia ada.​

Antara perincian visual yang paling menonjol dalam teaser tersebut termasuklah:

  • Reka Bentuk Rim: Menggunakan rim aloi dwi-tona (perak dan hitam) dengan rekaan lima jejari yang seakan-akan sama dengan Toyota Yaris Cross spesifikasi Thailand.​
  • Wajah Hadapan: Menampilkan gril hadapan dengan lencana Perodua serta lampu utama LED yang nipis dan tajam, memberikan imej yang lebih agresif berbanding model Ativa.​
  • Profil Sisi: Tiang-A dan cermin sisi yang digelapkan (blacked-out), memberikan efek bumbung terapung yang sporty.​

Hantaran media sosial tersebut turut disertakan dengan kapsyen yang memberi jaminan mengenai kualiti model baharu ini:

“Built on the strength of the Perodua ecosystem, it’s GUARANTEED to be something you can count on.

“The countdown begins: 5 more days. Are you ready for what’s on the horizon? Stay tuned,”

Platform DNGA dan Spesifikasi Teknikal

Spesifikasi penuhnya masih lagi belum didedahkan secara rasmi. Namun penganalisis automotif mengesahkan D66B atau ‘Traz’ ini dibina menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA-B). Platform ini merupakan jenis yang sama digunakan oleh Toyota Yaris Cross pasaran ASEAN.​​

Toyota Yaris Cross

Dari segi kedudukan pasaran, model ini akan diletakkan di atas Perodua Ativa sebagai SUV segmen-B penuh. Ini menjadikannya pesaing terus kepada model popular lain seperti Proton X50 dan Honda HR-V.​​

Pemerhati industri menjangkakan Perodua Traz akan ditawarkan dengan pilihan trenkuasa yang cekap tenaga, selaras dengan strategi Perodua untuk menawarkan kenderaan mampu milik dengan teknologi terkini.

Spekulasi kuat mengatakan ia mungkin hadir dengan pilihan enjin 1.5L aspirasi natural (NA) atau varian hibrid, memandangkan ‘kembar’ teknikalnya iaitu Yaris Cross sudah memiliki teknologi tersebut.

Tinggalkan komentar