Penantian terhadap kenderaan elektrik (EV) mampu milik buatan tempatan kini berakhir. Pengeluar kereta nasional, Perodua, secara rasminya melancarkan model EV pertama mereka yang dikenali sebagai QV-E.
Majlis pelancaran model yang dinanti-nantikan ini telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Model hatchback ini ditawarkan pada harga RM80,000, menandakan langkah serius Perodua dalam arena automotif hijau.

Dari segi reka bentuk luaran, QV-E menampilkan gaya yang sporty dan futuristik, bersesuaian dengan identitinya sebagai sebuah EV moden. Bahagian hadapan kenderaan ini didominasi oleh bar lampu LED yang nipis dan bersambung, manakala lampu utama LED dengan projektor berkembar diletakkan di bahagian bawah.
Siluet gaya coupe dan garisan badan yang berukir memberikan kehadiran aerodinamik yang jelas pada model ini. Bahagian belakang pula dilengkapi dengan bar lampu LED penuh dan spoiler bumbung, disempurnakan dengan rim aloi 18-inci serta pemegang pintu jenis flush.

Di bahagian kabin, Perodua mengenakan kemasan trim hitam dengan tempat duduk separa kulit serta stereng rata di bahagian bawah (flat-bottomed) yang dibalut kulit.
Papan pemuka menempatkan sistem inforia 10.25-inci yang menyokong ketersambungan wayarles Apple CarPlay dan Android Auto, serta kluster instrumen digital 10.25-inci yang memaparkan maklumat penting seperti Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS).

Walaupun moden, Perodua mengekalkan tombol fizikal untuk fungsi asas seperti penyaman udara demi kemudahan pengguna. Ruang bagasi menawarkan kapasiti 450 liter yang boleh dikembangkan sehingga 1,238 liter.
Berdasarkan spesifikasi rasmi yang dikeluarkan, QV-E dikuasakan oleh konfigurasi pacuan roda hadapan (FWD) dengan motor yang menjana kuasa 150 kW dan tork 258 Nm.
Terdapat tiga mod pemanduan iaitu Eco, Comfort, dan Sport. Dalam mod Sport, kenderaan ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 7.5 saat dengan kelajuan maksimum mencecah 165 km/j.
Spesifikasi teknikal utama Perodua QV-E

- Bateri: 52.5 kWh CATL LFP
- Jarak Gerak (NEDC): 445 km
- Pengecasan DC (60 kW): 30% hingga 80% dalam masa 30 minit
- Pengecasan AC (6.6 kW): Pengecasan penuh dalam masa 8 jam
- Pilihan Warna: Ice Blue Shade dan Caviar Grey Shade dengan kemasan hitam
Pelancaran Perodua QV-E ini merupakan satu pencapaian penting bagi industri automotif negara, menawarkan pilihan yang kompetitif bagi rakyat Malaysia yang ingin beralih kepada kenderaan elektrik. Melalui gabungan reka bentuk moden, teknologi terkini, dan harga yang strategik, model ini dijangka akan memberi saingan sengit dalam pasaran EV tempatan.













